Topik diikuti
Pergi ke BHkuImigresen M’sia tumpas sindiket perdagang manusia, palsukan dokumen pekerja asing
Imigresen M’sia tumpas sindiket perdagang manusia, palsukan dokumen pekerja asing
Sindiket aktif sejak 2019, kaut keuntungan RM100j
Imigresen M’sia tumpas sindiket perdagang manusia, palsukan dokumen pekerja asing
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar kegiatan satu sindiket pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen pekerja asing melalui operasi khas, ‘Ops Serkap’ yang dijalankan pada 13 dan 14 April.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak 2019 dan telah mengaut keuntungan, yang dianggarkan melebihi RM100 juta ($32.3 juta) sepanjang tempoh itu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi itu adalah hasil risikan selama enam bulan yang dilaksanakan di enam kawasan sekitar Kuala Lumpur, selepas mendapat maklumat daripada orang awam serta laporan media.
Menurut beliau dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas pelbagai dokumen imigresen yang telah diubah suai termasuk e-pass, pelekat keselamatan dan slip berkaitan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemalsuan.
“Antara barangan dirampas adalah 111 pasport pelbagai negara, 10 komputer riba, enam telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM3,950,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada 15 April, lapor Astro Awani.
Dalam operasi sama, sembilan individu berusia antara 26 dengan 61 tahun turut ditahan, terdiri daripada warga Nepal, India dan Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang berstatus pemastautin tetap.
Datuk Zakaria berkata pihak Imigresen turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memperluas skop siasatan, termasuk meneliti kemungkinan penglibatan rangkaian lain serta aliran kewangan sindiket itu.
Menurutnya, lelaki tempatan dan wanita warga Vietnam berkenaan dipercayai bertindak sebagai pemilik serta pengarah syarikat yang digunakan sebagai saluran kegiatan sindiket tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pasukan operasi turut menahan dalang utama sindiket, seorang lelaki warga Nepal berusia 43 tahun, dalam serbuan di Jalan Galloway, Kuala Lumpur.
“Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan yang dinaiki suspek yang disyaki cuba melarikan diri,” katanya.
Suspek utama dikenal pasti sebagai Mahendra Jung Shah, atau dikenali sebagai ‘MJ’, seorang warganegara Nepal yang memegang pas ekspatriat sah.
Menurut Datuk Zakaria, suspek itu juga mempunyai rekod lampau dan pernah ditahan oleh Bahagian Banteras Keganasan (E8), Bukit Aman pada 2016.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai telah beroperasi lebih tujuh tahun dan berperanan sebagai pengatur utama kemasukan pekerja asing secara tidak sah,” katanya.
Beliau menjelaskan modus operandi sindiket adalah membawa masuk pekerja asing secara haram sebelum membekalkan dokumen serta pas Imigresen palsu bagi membolehkan mereka bekerja di Malaysia, dengan bayaran antara RM5,000 dengan RM6,000 seorang.
