KUALA LUMPUR: Seramai 349 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah, termasuk lima di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) menerusi operasi yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa daerah di Selangor selama empat hari bermula 18 hingga 21 Jun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata daripada keseluruhan 349 tangkapan itu, 280 membabitkan lelaki dan 69 wanita berusia antara 20 hingga 83 tahun dengan 85 daripadanya adalah warga asing.

Menurutnya, Op Cantas Bersepadu itu menumpukan usaha mengesan dan menangkap individu yang dikehendaki, selain melumpuhkan aktiviti kumpulan jenayah terancang termasuk sumber kewangan mereka.

Beliau berkata sebanyak 235 serbuan dan pemeriksaan dijalankan di premis perniagaan, kawasan kediaman serta tapak projek pembinaan sepanjang operasi berlangsung.

“Daripada jumlah tangkapan itu, lima daripada mereka adalah individu yang dikehendaki mengikut Akta Sosma, manakala 34 lagi dikehendaki bagi kes jenayah kekerasan dan jenayah harta benda,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi sama katanya, dua pusat hiburan didapati beroperasi tanpa lesen hiburan manakala 13 premis perniagaan dipercayai menggaji pekerja warga asing tanpa pas atau permit sah.

Datuk Kumar berkata pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan kompaun terhadap beberapa pemilik perniagaan yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan lesen.

“Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, khususnya membabitkan aktiviti jenayah terancang melalui kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.

Operasi yang disertai seramai 252 pegawai dan anggota itu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan JSJ Bukit Aman dan Kontinjen Selangor; Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman.