SEREMBAN (Negeri Sembilan): Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditembak dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan, dekat Seremban, Negeri Sembilan, pada malam 19 November.
Situasi menjadi panik apabila mangsa dilihat berlari ke seberang jalan dan orang awam turut mendengar bunyi tembakan sebelum mangsa dilihat rebah.
Orang awam yang enggan dikenali ketika ditemui di tempat kejadian pada 1 pagi, berkata sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang makan sebelum didatangi dua kenderaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 11.23 malam.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa berusia 33 tahun itu mempunyai rekod jenayah atas pelbagai kesalahan termasuk kes samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.
“Polis kini sedang giat memburu kesemua suspek dan mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini. Motif kejadian dan identiti kesemua suspek juga masih dalam siasatan,” katanya, lapor Kosmo!.
Datuk Alzafny berkata mangsa telah datang ke restoran berhampiran tempat kejadian bersama keluarga untuk makan malam.
Bagaimanapun, katanya ketika mangsa sedang menuju ke kenderaan, beberapa kereta yang dinaiki enam suspek berpelitup muka telah menghalang kereta mangsa.
“Suspek yang disyaki bersenjatakan pistol dan parang telah keluar dan menyerang mangsa.
“Mangsa cuba melarikan diri ke arah jalan raya, namun suspek terus mengejar mangsa dan melepaskan tembakan diikuti serangan menggunakan parang sehingga mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.
Datuk Alzafny berkata menerusi pemeriksaan awal terhadap tubuh badan mangsa, terdapat kesan tetakan dan tembakan.
“Pasukan penyiasat yang terdiri daripada pegawai penyiasat, Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9), ke tempat kejadian bagi mendapatkan bukti fizikal dan bahan berkaitan kes sejurus mendapat maklumat kejadian.
“Bedah siasat dijalankan di Bahagian Perubatan Forensik Hospital Rembau, Negeri Sembilan hari ini (20 November),” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.
Dalam satu kejadian berasingan pada 7 November lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun maut ditembak di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata mangsa yang tidak bekerja disahkan maut akibat kesan beberapa das tembakan pada dada dan perut dan siasatan polis mendapati mangsa mempunyai rekod berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg