KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas ke Islamabad, Pakistan, bagi menyiasat laporan berhubung penahanan beberapa rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian atau scammer.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata setakat ini beliau belum dapat mengesahkan jumlah sebenar rakyat Malaysia terbabit, memandangkan siasatan masih pada peringkat awal.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ada maklumkan kepada saya pada 18 Ogos mengenai perkara ini.

“Untuk ke tempat seperti ini, ia memerlukan tindakan yang bersepadu, bukan sahaja sesama kita, malah juga antara kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan aset motosikal taktikal elektrik jenis All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB) di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 19 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Tan Sri Mohd Khalid berkata PDRM kini giat mengesan rangkaian pihak terlibat dalam kegiatan itu dengan kerjasama penuh pihak berkuasa Pakistan.

Pada 18 Ogos, media antarabangsa melaporkan pihak berkuasa Pakistan menahan 258 warga asing dalam serbuan ke atas pusat panggilan penipuan di kawasan perumahan Gulberg Green, pinggir Islamabad.

Tangkapan itu membabitkan 40 rakyat China dan 170 Vietnam, selain warganegara Malaysia dan negara Asia lain.

Kesemua mereka kini ditahan di penjara Rawalpindi.

Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Khalid mendedahkan trend semasa menunjukkan kegiatan penipuan dalam talian kini banyak melibatkan warga asing terutama dari China.

Beliau berkata kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM menahan 182 warga asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai hab kegiatan penipuan dalam talian pada Julai lalu juga menunjukkan keseriusan kes itu.

Selain itu, Tan Sri Mohd Khalid berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima lebih 500 panggilan setiap hari, dengan setiap aduan akan disusuli laporan polis bagi membolehkan JSJK mengambil tindakan segera.

Sementara itu PDRM pada 19 Ogos menerima 375 motosikal taktikal elektrik jenis ATEB bernilai lebih RM8 juta ($2.52 juta) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara.

Tan Sri Mohd Khalid berkata penggunaan ATEB dijangka meningkatkan keupayaan pegawai dan anggota, khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melaksanakan tugas kawalan sempadan dengan lebih pantas, senyap dan berkesan.