KUALA LUMPUR: Dua belas individu termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang pegawai polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

Kegiatan itu bagi meluluskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem dengan menggunakan kuota PLKS 2011 tanpa membuat bayaran levi sebelum mengeluarkan 1,306 PLKS palsu, sekali gus menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan RM2.4 juta ($760,000).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata kesemua suspek ditahan dalam operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Crack yang dijalankan dengan kerjasama JIM sejak 28 Julai.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Imigresen, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat Imigresen serta seorang pegawai polis.

Beliau berkata kesemua suspek berumur lingkungan 30 hingga 40-an tahun itu ditahan antara 2 dan 5 petang di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.

“SPRM dengan kerjasama JIM melaksanakan satu operasi bersepadu bagi menumpaskan kegiatan penggodaman MyIMMs yang membabitkan proses permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah.

“Dalam operasi yang dijalankan pada petang 28 Julai, seramai 12 individu berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara 2 petang hingga 5 petang di Ibu Pejabat SPRM serta JIM Pulau Pinang.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS 2011 tanpa membuat bayaran levi bagi pas yang dikeluarkan dan sebanyak 1,306 PLKS palsu berjaya dikeluarkan sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang dianggarkan RM2.4 juta,” katanya dalam kenyataan pada 29 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Abd Halim berkata, penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.

Beliau berkata operasi berkenaan adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dilaksanakan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Beliau berkata operasi itu turut dibantu Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi 29 Julai bagi permohonan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009.