KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan dua sindiket dadah membabitkan sindiket 18 dan 04, serta membongkar sebuah makmal haram memproses bahan terlarang itu.
Ops Kenari 1.0 di Kedah dan Pulau Pinang itu membawa kepada rampasan dadah bernilai RM6 juta ($1.79 juta).
Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata dalam operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut menahan 56 orang dan merampas tiga kereta, lapan motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan nilai sitaan harta sejumlah RM208,000.
“JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Kedah menjalankan operasi ini bermula 9 hingga 16 April di Kedah dan Pulau Pinang.
“Hasil tindakan operatif dan gerak gempur yang dijalankan, pasukan operasi berjaya melumpuhkan dua sindiket dadah iaitu sindiket 18 dan 04 serta membongkar sebuah makmal haram memproses dadah,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Tan Sri Razarudin berkata bagi sindiket 18, seramai enam lelaki dan seorang wanita warga China berusia 30 hingga 50 tahun ditahan.
“Pelbagai jenis dadah turut dirampas antaranya syabu, pil erimin 5, ecstacy, ganja, heroin, katrij cecair ‘vape’ dan botol ‘vape’; peralatan memproses dadah serta sepucuk pistol dengan 61 butir peluru hidup membabitkan nilai rampasan dadah RM2.95 juta, selain sitaan harta RM7,000.
“Manakala bagi sindiket 04 pula, seramai lapan lelaki berusia 32 hingga 49 tahun ditahan membabitkan rampasan dadah heroin dan syabu bernilai RM186,000 serta menyita tiga kereta, tujuh motosikal, barang kemas dan wang tunai dengan sitaan harta RM192,520,” katanya.
Tan Sri Razarudin menambah, tindakan operasi juga dijalankan di empat daerah di Kedah iaitu di Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena.
“Operasi membawa kepada penahanan pengedar dadah terdiri 39 lelaki Malaysia, seorang lelaki warga Thailand dan seorang wanita berusia 20 hingga 58 tahun, dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM40,000,” katanya.
Beliau berkata JSJN Bukit Aman bersama JSJN Kontinjen Pulau Pinang turut membuat serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, dan menahan seorang lelaki berketurunan Siam berusia 37 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dan katrij cecair ‘vape’ membabitkan nilai rampasan RM2.8 juta dan sitaan harta RM8,500.
“Rampasan dadah itu boleh digunakan oleh seramai 1.6 juta penagih dadah, malah ujian saringan air kencing mendapati 50 individu positif dadah,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg