Cubaan seorang pegawai penguat kuasa melakukan kegiatan pasport terbang atau ‘flying passport’ di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Komander AKPS CIQ BSI, Cik Roszita Dim, berkata kejadian itu dikesan sekitar 11.30 pagi semalam ketika Unit Integriti AKPS menjalankan pemantauan rutin di Dewan Penumpang Masuk BSI.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan integriti mendapati seorang pegawai yang bertugas di kaunter MyBorderPass gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil. 01 Tahun 2024 apabila didapati membawa dua telefon bimbit semasa bertugas tanpa membuat serah terima kepada penyelia seperti yang diwajibkan.
“Pegawai berusia 32 tahun itu tidak dapat memberikan penjelasan munasabah berhubung ketidakakuran arahan tatatertib tersebut dan telah dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada 8 Disember.
Menurutnya, pemeriksaan susulan membawa kepada penemuan lapan pasport milik warga asing yang disembunyikan di dalam sebuah beg hitam di ruang penyimpanan motosikal milik pegawai berkenaan yang diletakkan dalam kawasan bangunan BSI.
“Pasport yang ditemui terdiri daripada enam pasport Republik Rakyat China, satu pasport Indonesia dan satu pasport Vietnam,” katanya.
Cik Roszita berkata pegawai terbabit telah ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki dokumen perjalanan yang dikeluarkan bagi kegunaan orang lain tanpa kuasa sah.
Turut dirampas ialah motosikal miliknya, lapan pasport yang ditemui serta dua telefon bimbit yang dibawa ketika bertugas.
Beliau menegaskan bahawa AKPS tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai yang melanggar integriti jabatan atau terlibat dalam kegiatan jenayah di pintu masuk negara.
Tegasnya, tindakan penguatkuasaan seperti itu akan diteruskan bagi memastikan tahap keselamatan sempadan sentiasa berada pada paras tertinggi, terutama di BSI yang merupakan pintu masuk darat tersibuk di dunia.
Cik Roszita menambah bahawa usaha memantapkan integriti anggota adalah sebahagian komitmen berterusan AKPS dalam menjaga keselamatan negara dan mengekang sebarang cubaan penyeludupan atau penyalahgunaan dokumen perjalanan.
“Mana-mana pegawai yang ingkar perintah atau cuba menyalahgunakan kuasa akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pegawai yang ditahan sedang menjalani reman empat hari bermula 8 Disember bagi membantu siasatan.
Pasport terbang merujuk kepada keadaan apabila dokumen perjalanan digunakan untuk keluar masuk sempadan tanpa kehadiran pemilik sebenar.
Tindakan itu menyalahi undang-undang dan menggugat keselamatan pintu masuk negara.
Dengan itu, mereka dapat memperoleh cap keluar dan masuk tanpa pernah meninggalkan negara asal mereka.
Kebiasaannya, modus operandi itu membabitkan pasport diserahkan kepada pihak ketiga yang dibayar sejumlah wang dan individu itu akan membawa pasport berkenaan secara fizikal melintasi sempadan untuk dicap oleh pegawai imigresen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg