Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai imigresen di KLIA tertidur dikesan ‘sembunyikan’ 12 pasport asing

Feb 19, 2025 | 3:49 PM
Seorang pegawai imigresen dikesan menyimpan 12 pasport asing dengan perbuatannya terbongkar ketika tidur pada waktu kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seorang pegawai imigresen dikesan menyimpan 12 pasport asing dengan perbuatannya terbongkar ketika tidur pada waktu kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto hiasan MALAYSIAKINI

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai imigresen didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus mencetuskan kebimbangan tentang kemungkinan kegiatan rasuah dan sindiket pemalsuan dokumen kian berleluasa.

Insiden itu dikatakan terbongkar apabila seorang pegawai imigresen lain terlihat rakan setugasnya tidur pada waktu bertugas di Bilik Mesyuarat Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA, lalu beliau mendekatinya untuk membuat pemeriksaan.

“Memandangkan waktu itu bukan waktu rehat pegawai dan telah menghampiri waktu pertukaran syif iaitu pada 7.30 pagi, saya bertindak mengejutkan pegawai itu.

“Oleh kerana pakaian seragam imigresennya tidak dipakai dengan baik, hasil pemeriksaan saya dapati terdapat 12 pasport yang diselit di bahagian pinggang seluar pegawai itu.

“Saya kemudian mengambil pasport tersebut dan lapor perkara ini kepada Ketua Imigresen Terminal 2,” katanya dalam laporan polis bertarikh 7 Januari 2025, lapor Malaysiakini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA, Penolong Pesuruhjaya Azman Shari’at, mengesahkan laporan tersebut.

“Kes telah dirujuk untuk tindakan lanjut Jabatan Imigresen,” katanya.

Bagaimanapun, sumber dalaman Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memberitahu pegawai terbabit telah dipindahkan ke bahagian Depoh KLIA sebaik kejadian itu, namun sehingga kini masih belum melaporkan diri di tempat tugas barunya.

Lebih mengejutkan, sumber mendakwa pegawai terbabit masih aktif menjalankan kegiatan passport fly – satu sindiket memanipulasi rekod imigresen.

“Dia masih menjalankan aktiviti passport fly dengan mengambil pasport daripada ejen, kemudian memberi kepada pegawai imigresen di KLIA untuk dimasukkan ke dalam sistem dan dicop.

“Dia ambil sekitar 30 pasport setiap hari daripada ejen Pakistan dan setiap pasport fly dibayar RM1,400 ($315),” dakwa sumber imigresen dari Putrajaya.

Fly merujuk kepada sindiket ‘membersihkan’ status pelanggaran imigresen tinggal lebih masa atau senarai hitam dengan menggunakan cop palsu keluar masuk negara.

Sebelum ini, pegawai imigresen didakwa akan membawa cop keluar secara rahsia ke lokasi tertentu untuk dicop pada pasport yang dibawa oleh ejen sebelum menerima bayaran.

Namun kini, sindiket didakwa menggunakan pegawai imigresen yang membawa sendiri pasport ejen ke kaunter untuk dicop secara rasmi sebelum dikembalikan kepada ejen.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg