Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai jabatan agama, imam dan anak ditahan, disyaki terima suapan lebih RM1j

Jun 6, 2024 | 1:31 PM
Seorang pegawai kanan Jabatan Agama Islam Perlis, seorang imam serta anak lelakinya direman sehingga 9 Jun ini untuk membantu siasatan kes menerima suapan lebih RM1 juta untuk menguruskan pendaftaran pernikahan di Perlis, terutama membabitkan pasangan yang bernikah di Thailand.
Seorang pegawai kanan Jabatan Agama Islam Perlis, seorang imam serta anak lelakinya direman sehingga 9 Jun ini untuk membantu siasatan kes menerima suapan lebih RM1 juta untuk menguruskan pendaftaran pernikahan di Perlis, terutama membabitkan pasangan yang bernikah di Thailand. - Foto NSTP

KANGAR (Perlis): Tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), selain imam sebuah masjid di Kangar bersama anak lelakinya, direman lima hari sehingga 9 Jun.

Ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan RM1.183 juta ($338,000) untuk menguruskan pendaftaran pernikahan di Perlis.

Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, selepas mereka dibawa oleh anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Kangar pada 5 Jun.

Sumber SPRM berkata suspek utama (pegawai JAIPs) dipercayai bekerjasama dengan dua lagi suspek, iaitu imam (suspek kedua) dan anak kepada imam berkenaan, yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.

“Siasatan awal kita pada waktu ini mendapati bagi setiap permohonan nikah, terutama untuk pasangan yang bernikah di Thailand dan mahu mendaftarkan pernikahan itu di Malaysia akan berhubung dengan syarikat yang menguruskan pernikahan ini yang dimiliki oleh suspek ketiga yang juga anak imam berkenaan.

“Syarikat yang beroperasi di Kangar ini kemudian akan meminta pasangan yang mahu mendaftar semula pernikahan itu membuat bayaran sekitar RM5,000 sebagai wang pendaftaran pernikahan itu,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2,000 akan dibayar kepada suspek utama yang bertugas di JAIPs sebagai tindakan denda pasangan terbabit kerana bernikah di Thailand.

“Baki daripada jumlah itu pula akan dibahagi-bahagikan antara ketiga-tiga suspek, membabitkan akaun peribadi milik penjawat awam dan imam masjid serta akaun syarikat milik suspek ketiga.

“Kesemua suspek disyaki terbabit dalam urusan pendaftaran pernikahan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, seperti pasangan tidak bermastautin mengikut tempoh seperti sepatutnya.

“Siasatan juga mendapati terdapat juga kesalahan pasangan tidak hadir dan tidak dicatatkan dalam buku daftar pernikahan, selain tidak melalui Mahkamah Syariah,” katanya.

Menurut sumber SPRM itu, pihaknya percaya bahawa suspek utama mengaut keuntungan lebih RM1 juta dalam akaun peribadinya hasil urusan berkenaan yang dijalankan bermula April 2022 hingga Jun 2023.

“Malah, siasatan awal kita juga percaya bahawa imam itu dan anaknya mengaut keuntungan melebihi suspek utama. Siasatan bagaimanapun masih terus dijalankan untuk kes ini mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Encik Mohd Nor Adha Ab Ghani, mengesahkan penahanan suspek.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg