Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pegawai kastam kaup RM200,000 sebulan hasil seludup e-rokok

Di bawah Ops Airways,14 orang berumur antara 20 dengan 60 tahun ditahan, termasuk 6 pegawai Kastam, 6 pengarah syarikat
Jan 24, 2025 | 11:32 AM
Foto hiasan
Foto hiasan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pegawai penguat kuasa rasuah Malaysia telah mengaut hampir RM200,000 ($61,021) setiap bulan daripada penyeludup e-rokok (vape) di Zon Komersial Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kumpulan pegawai itu mengutip rasuah daripada lori-lori yang meninggalkan pusat pemeriksaan kargo KLIA, kata ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Katanya, jumlah rasuah bergantung kepada jenis lori yang dilepaskan.

“Bagi lori satu tan, jumlahnya RM150, lori tiga tan (RM300), lori lima tan (RM500) dan lima tan ke atas RM750.

“Setiap hari, kira-kira 20 lori melalui FCZ dan jumlah rasuah yang dikutip antara RM4,000 dan RM6,000 setiap hari,” jelasnya.

Beliau berkata lori-lori yang dibenarkan melalui pemeriksaan oleh penguat kuasa itu terlibat dalam pelbagai kesalahan terutama penyeludupan e-rokok.

Tan Sri Azam berkata di bawah operasi khas bernama Ops Airways, SPRM merampas barangan termasuk e-rokok, wang tunai, komputer dan telefon bimbit bernilai RM17.9 juta.

“Kami percaya sindiket penyeludupan vape telah beroperasi sejak 2023.

“Siasatan kami baru sahaja bermula dan kami sedang mengenal pasti suspek lain dan mereka yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan itu,” katanya, lapor The Star.

Dilaporkan bahawa sindiket penyeludupan e-rokok merasuah pegawai Kastam di pusat kargo itu telah ditumpaskan pada 21 Januari.

Bahagian Perisikan SPRM membongkar kegiatan haram itu apabila Ops Airways dilancarkan selepas operasi pengawasan selama tiga bulan.

Menurut sumber, 14 orang berumur antara 20 dengan 60 tahun ditahan, termasuk enam pegawai Kastam dan enam pengarah syarikat. Kesemuanya direman antara empat hingga lima hari.

“Tangkapan dibuat selepas dua lori yang meninggalkan pusat pemeriksaan kargo KLIA ditahan. Serentak dengan itu, satu serbuan besar-besaran dilakukan ke atas dua gudang penyimpanan syarikat terbabit.

“Hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam mendapati 32,000 pen vape – dianggarkan melibatkan cukai RM1.9 juta – dalam lori yang dirampas itu,” katanya pada 23 Januari.

Satu serbuan di salah sebuah gudang menemui 90,000 pen e-rokok, dengan anggaran RM5.4 juta cukai belum dibayar. Di gudang lain, pegawai menemui puluhan ribu lagi pen e-rokok, juga melibatkan berjuta-juta cukai yang tidak dibayar.

Sumber itu menambah bahawa serbuan itu mendedahkan kerugian kira-kira RM8 juta hasil cukai untuk negara.

“Kandungan pen vape juga dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan pengguna,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg