KOTA BHARU: Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 19 Mei terhadap dua tuduhan menerima suapan barangan bernilai RM13,500 ($4,066) daripada seorang lelaki pada Januari dan Jun 2018.
Tertuduh, Mohd Firdaus Mohd, 40 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut tuduhan pertama, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu Pegawai Polis Diraja Malaysia berpangkat Penolong Superintendan (ASP) yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, menerima pembayaran kos ubah suai rumah secara percuma bernilai kira-kira RM9,000 daripada seorang lelaki berusia 38 tahun, di Kampung Pak Blong Telong, dekat Bachok, pada Januari dan Jun 2018.
Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suatu barang berharga dengan tiada balasan iaitu wang deposit pembelian motosikal berkuasa tinggi berjumlah RM4,500 bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, pada Januari 2018, lapor Berita Harian Malaysia.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam bela Cik Azura Ghazali.
Terdahulu, Tengku Nurul Haziqah mencadangkan jaminan sebanyak RM13,000 dikenakan kepada tertuduh.
Cik Azura pula merayu supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin masing-masing RM2,500 bagi setiap tuduhan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua tuduhan dan menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg