KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu, termasuk seorang bergelar Datuk Seri, kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM360 juta ($108.8 juta).
Berita Harian Malaysia melaporkan, sumber berkata semua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 hingga 70-an tahun itu ditahan antara 4 hingga 6 petang pada 29 April, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai mengemukakan tuntutan palsu sekitar tahun 2016 hingga 2017.
“Tuntutan membabitkan dana sukuk bagi sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion,” katanya.
Difahamkan, tuntutan berkenaan dikemukakan bagi mendapatkan pembayaran tidak sah berkaitan projek infrastruktur terbabit.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan kesemua mereka kini ditahan reman bagi siasatan lanjut.
Dalam satu kes berasingan di Seremban, Negeri Sembilan, seorang penolong jurutera sebuah kementerian dan suaminya ditahan SPRM selepas didapati meminta dan menerima rasuah kira-kira RM15,000 daripada syarikat pemaju.
Difahamkan suapan berkenaan sebagai dorongan mendapatkan dokumen berkaitan projek perumahan di sebuah daerah di negeri Selangor.
Menurut sumber SPRM, pasangan suami isteri berkenaan yang berusia lingkungan 30 dan 40-an tahun ditahan sekitar 6 petang 29 April, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Dalam kes ini, suami kepada suspek utama iaitu penolong jurutera dipercayai bersubahat bersama meminta suapan berjumlah sekitar RM15,000 sejak Februari hingga April 2024.
“Suspek disyaki menerima wang rasuah daripada syarikat pemaju terbabit secara tunai dengan dua kali bayaran,” katanya.
Dalam masa sama, dua anggota polis turut ditahan SPRM Negeri Sembilan pada 29 April, selepas didakwa meminta rasuah daripada seorang lelaki ketika pemeriksaan kenderaan, di Seremban pada 27 April lalu.
Suspek dipercayai meminta rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan di sebuah stesen minyak.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu ketika menjalankan tugas dengan membuat pemeriksaan kenderaan individu terbabit.
“Ketika pemeriksaan kedua-dua suspek dikatakan mengambil kad pengenalan individu berkenaan dan meminta wang rasuah sekitar RM6,000 jika ingin kad pengenalannya dipulangkan semula,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg