KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat lans koperal ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM8,600 ($2,468) dalam sebuah kereta di Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata pegawai polis berkenaan ditahan dalam serbuan oleh pasukan Cawangan Risikan atau Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman kira-kira 12.45 tengah malam pada 13 Mei.
Datuk Mohd Khairi berkata hasil serbuan itu polis merampas pil yaba seberat 110.87 gram, syabu (5.42 gram) dan heroin (0.11 gram).
“Ujian air kencing mendapati anggota polis itu negatif bagi dadah dan dia kini direman seminggu bermula 14 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Datuk Mohd Khairi berkata polis memandang serius terhadap penyalahgunaan dadah dan jenayah dalam kalangan pegawai polis, yang boleh menjejas imej pasukan itu.
Sementara itu, dalam satu kes berasingan di Temerloh, Pahang, dua anggota tentera cedera selepas terbabit dalam satu pergaduhan di Kem Tentera Batu 3, Mentakab, pada 9 Mei.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, dua askar berpangkat sarjan, berusia 38 tahun dan 36 tahun, terpaksa dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika seorang daripada askar itu menunaikan solat di dalam sebuah bilik dan yang seorang lagi membunyikan enjin motosikalnya dengan kuat.
“Mangsa menegur perbuatan suspek, namun perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan berlaku pergaduhan antara mereka.
“Mangsa didakwa menggunakan kayu untuk menyerang suspek, manakala suspek bersenjatakan parang,” kata Datuk Seri Yahaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg