PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan Putrajaya membenarkan permohonan Peguam Negara Malaysia, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan, bagi kes pengesahan kewujudan titah adendum (perintah tambahan) melibatkan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak.
Keputusan itu diputuskan panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, yang membenarkan Datuk Mohd Dusuki mengemukakan tujuh persoalan undang-undang untuk dihujahkan dalam pendengaran rayuan kelak.
Mahkamah berpuas hati persoalan undang-undang yang dikemukakan menyentuh isu kepentingan awam yang belum pernah didengar dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi di Malaysia, lapor Astro Awani.
Titah adendum yang dimaksudkan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada Januari 2024, yang membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjaranya bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta ($12.63 juta), di bawah tahanan rumah.
Permohonan Datuk Mohd Dusuki dibuat selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 6 Januari lalu, membenarkan Encik Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan (Pahang) untuk mencabar kewujudan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah.
Encik Najib mendakwa mahu mengemukakan keterangan baru membabitkan afidavit anak lelakinya, Datuk Mohd Nizar yang memasukkan salinan titah adendum yang diterimanya daripada Pejabat Sultan Pahang, mengesahkan kewujudan perintah untuk bekas Presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Encik Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana milik SRC dan memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Sultan Abdullah pada Januari 2024 kemudian mengurangkan hukuman penjara terhadap Encik Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Namun, kemudian Encik Najib mendakwa wujud titah adendum yang dikurniakan kepadanya oleh Sultan Abdullah untuk menjalani hukuman penjara di rumah.
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, awalnya mendakwa titah adendum itu hanyalah khabar angin.
Datuk Anwar pada Disember 2024 mengesahkan titah adendum itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Terdahulu isu mengenai kewujudan titah adendum itu didedahkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Presiden Umno sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mengikrarkan afidavit mendakwa telah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg