KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi) Malaysia, Cik Azalina Othman Said, tidak bersetuju dengan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan perintah larangan ulasan.
Larangan itu adalah untuk menghalang mana-mana pihak mengulas kes semakan kehakiman titah adendum atau perintah tambahan yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang sedang dihadapinya, sebagai tahanan di rumah.
“Sejujurnya, pandangan peribadi saya, tidak sepatutnya ada perintah larangan ulas. Pertama, kes itu akan menjadi domain awam.
“Kedua, Parlimen akan bersidang pada Februari. Jadi semua ini akan timbul semula,” katanya kepada media Malaysia ketika hadir Persidangan Pembiayaan Politik Antarabangsa di Kuala Lumpur, pada 14 Januari, lapor Malaysiakini.
Namun, Cik Azalina percaya AGC mempunyai alasan tersendiri untuk memohon larangan tersebut dan menekankan badan kehakiman mesti dibenarkan bertindak bebas dalam hal berkenaan.
“Untuk berlaku adil, saya fikir AGC mempunyai alasan undang-undang sendiri dan mereka memfailkan permohonan rasmi (larangan bersuara).
“Apabila (permohonan itu) dihantar kepada mahkamah, kita serah kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan kita hormati keputusan itu. Jadi, biarlah mahkamah buat keputusan,” katanya lagi.
Pada 13 Januari, AGC yang mewakili Lembaga Pengampunan dan kerajaan dilaporkan akan memohon perintah perlindungan dan perintah larangan terhadap kes semakan kehakiman berhubung titah tambahan yang melibatkan Encik Najib.
Sebelum ini pada Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Encik Najib untuk memulakan semakan kehakiman atas alasan afidavit sokongan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima sebagai bukti.
Namun pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu dan memberi kebenaran untuk permohonan Encik Najib didengar di Mahkamah Tinggi, selain membenarkan Encik Najib menggunakan afidavit anaknya, Datuk Mohamad Nizar, yang mendakwa Istana Pahang mengesahkan kewujudan titah tambahan itu.
Titah tambahan itu muncul selepas Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara ke atas Encik Najib yang disabitkan bersalah pada 2022 dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta ($12.7 juta), dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg