KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan memfailkan permohonan untuk mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) buat mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan kes titah adendum yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Encik Najib Tun Razak, yang mula disebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Kanan Persekutuan, Encik Shamsul Bolhassan, yang ditemui selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Januari memberitahu bahawa pihaknya akan memfailkan perkara itu 20 Januari depan.
Ditanya alasan permohonan itu, Encik Shamsul berkata ia adalah untuk melindungi institusi diraja kerana perkara itu menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatulakmal Abdul Aziz adalah berkenaan titah adendum yang didakwa diperkenankan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, pada Januari 2024, bagi membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara yang sedang dijalaninya, di bawah tahanan rumah.
Encik Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ($63.9 juta) pada 2022, selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Dalam prosiding tertutup di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Hayatulakmal menetapkan 11 Mac depan untuk pengurusan kes secara dalam talian.
Peguam Encik Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihaknya akan membantah permohonan perintah larangan itu dengan alasan perkara itu adalah kes yang membabitkan kepentingan awam, selain telah dibincangkan secara meluas termasuk di peringkat Parlimen.
Selain permohonan perintah larangan bersuara, Encik Shamsul berkata pihaknya juga akan membantah permohonan tiga peguam, diketuai Tan Sri Azhar Azizan Harun; Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; dan Datuk Seri Zulkifli Noordin yang akan memohon untuk bertindak sebagai peguam pemerhati.
Mereka mewakili tiga Ahli Parlimen (AP) Perikatan Nasional, terdiri daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Pada 6 Januari lalu, Encik Najib menang dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan Malaysia menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum itu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.
Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya kes semakan kehakiman berkenaan diremitkan (dikembalikan) ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.
Sebelum ini pada 3 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berkaitan titah tersebut dengan alasan ia adalah dengar cakap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg