Topik diikuti
Pergi ke BHkuPejuang mahu penyelesaian isu harian rakyat Johor diutamakan jelang PRN
Pejuang mahu penyelesaian isu harian rakyat Johor diutamakan jelang PRN
Gesa semua parti politik tidak tumpu pada pelancaran jentera pilihan raya
Pejuang mahu penyelesaian isu harian rakyat Johor diutamakan jelang PRN
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor berpandangan pelancaran jentera pilihan raya oleh mana-mana parti politik tidak seharusnya mengalih perhatian daripada pelbagai isu yang masih membelenggu rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan Pejuang Johor, Cik Suraya Sulaiman, berkata rakyat ketika ini lebih memerlukan penyelesaian terhadap masalah harian berbanding menyaksikan persaingan kekuatan jentera politik.
Menurutnya, walaupun parti itu maklum pelancaran jentera pilihan raya Umno baru-baru ini sebagai persediaan menghadapi PRN, tumpuan utama semua pihak seharusnya diberikan kepada isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Rakyat Johor hari ini berdepan pelbagai cabaran yang semakin menekan kehidupan harian mereka.
“Kos sara hidup terus meningkat, harga rumah semakin sukar dimiliki golongan muda, kadar sewa kediaman dan premis perniagaan semakin tinggi terutama di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, manakala harga barangan keperluan harian terus memberi tekanan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Jun.
Menurut beliau, kedudukan Johor yang bersempadan dengan Singapura memang membuka peluang ekonomi dan pelaburan yang besar kepada negeri itu.
Bagaimanapun, jelasnya, manfaat daripada pembangunan pesat dan kemasukan pelaburan asing perlu dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat tempatan.
“Ramai rakyat Johor rasa mereka semakin terpinggir apabila kos kehidupan meningkat lebih pantas berbanding pertumbuhan pendapatan mereka.
“Pembangunan dan pelaburan yang berlaku perlu diuruskan secara adil, supaya limpahan ekonominya benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya.
Cik Suraya turut membangkitkan isu bekalan air yang berulang, pencemaran sungai serta tekanan terhadap sumber air negeri, yang menurutnya, masih memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Jelasnya, rakyat berhak mengetahui jaminan kerajaan negeri bahawa pembangunan berskala besar yang sedang dilaksanakan tidak akan menjejas keselamatan bekalan air pada masa hadapan.
Beliau berkata PRN kali ini tidak seharusnya tertumpu kepada persaingan jentera atau kelebihan sumber kewangan parti semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata pengundi perlu diberi peluang menilai dasar, rekod pentadbiran serta penyelesaian yang ditawarkan setiap parti politik.
“Persoalan yang perlu dijawab adalah, sejauh manakah kehidupan rakyat bertambah baik sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan negeri?
“Adakah peluang pekerjaan yang diwujudkan menawarkan gaji yang setimpal? Adakah golongan muda mampu membeli rumah di negeri sendiri? Adakah peniaga kecil mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan asing? Dan adakah masalah bekalan air serta prasarana asas telah benar-benar diselesaikan?” katanya.
Beliau berkata rakyat kini semakin matang dalam membuat penilaian politik dan tidak lagi mudah dipengaruhi program yang bersifat simbolik atau retorik semata-mata.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menyeru semua parti yang akan bertanding dalam PRN akan datang supaya mengemukakan pelan dan dasar yang jelas berkaitan kos sara hidup, perumahan mampu milik, keselamatan bekalan air, peluang pekerjaan bermutu serta pembangunan negeri yang mampan.
“
“Rakyat Johor hari ini berdepan pelbagai cabaran yang semakin menekan kehidupan harian mereka. Kos sara hidup terus meningkat, harga rumah semakin sukar dimiliki golongan muda, kadar sewa kediaman dan premis perniagaan semakin tinggi terutama di Johor Bahru dan Iskandar Puteri, manakala harga barangan keperluan harian terus memberi tekanan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.”