Malaysia mencatat sejarah baru dalam sektor maritim apabila Pelabuhan Klang di Selangor, buat julung kali tersenarai dalam kelompok 10 pelabuhan kontena tersibuk dunia.
Demikian menurut senarai, Lloyd’s List Top 100 Ports 2025.
Kementerian Pengangkutan (MoT) Malaysia berkata pencapaian itu turut menyaksikan Pelabuhan Klang mengatasi Hong Kong yang memegang rekod sama pada 2023, mencerminkan kekuatan daya saing pelabuhan negara serta mengangkat Malaysia sebagai kuasa maritim terkemuka di rantau ini.
Selain Pelabuhan Klang, MoT berkata Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor turut mengekalkan kedudukan ke-15 bagi 2023 dan 2024, sambil mencatat lonjakan throughput (daya proses) kepada 12.25 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2024 – peningkatan 16.9 peratus berbanding 10.48 juta TEU pada 2023.
“Kombinasi kekuatan Pelabuhan Klang dan PTP menjadikan Malaysia sebagai negara kelima terbesar dunia dari segi jumlah pengendalian kontena pada 2024, memperkukuh peranan strategik negara di sepanjang Selat Melaka, laluan pelayaran paling sibuk di dunia,” kata MoT dalam kenyataan pada 1 September.
Mengulas lanjut, MoT berkata pada 2024, Pelabuhan Klang merekodkan pengendalian kontena sebanyak 14.64 juta TEU, meningkat 4.1 peratus berbanding 14.06 juta TEU pada 2023.
Pertumbuhan itu kata MoT didorong oleh peningkatan 8.9 peratus kegiatan import dan eksport, hasil permintaan berterusan terhadap barangan buatan, industri dan pengguna.
“Walaupun berdepan cabaran dunia seperti krisis Laut Merah, Pelabuhan Klang kekal berdaya tahan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan aliran perdagangan antarabangsa.
“Berdasarkan momentum ini, throughput dijangka mencecah 14.98 juta TEU pada 2025, mengukuhkan lagi kedudukan pelabuhan dalam kalangan hab maritim utama dunia,” kata MoT.
MoT berkata lonjakan ke tangga ke-10 melengkapkan rekod peningkatan berterusan Pelabuhan Klang sejak beberapa tahun lalu – daripada tangga ke-13 pada 2022, ke-11 (2023) dan kini ke-10 (2025).
“Kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh kapasiti, kemudahan dan keupayaan pelabuhan bagi memenuhi permintaan perdagangan antarabangsa,” katanya.
Kemajuan itu, kata MoT, turut disokong oleh hasil pelaburan strategik termasuk projek pembangunan prasarana merangkumi Westports, bagi pengembangan terminal baru yang dijangka menggandakan kapasiti daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU menjelang 2028.
Selain itu, MoT menyatakan ia turut merangkumi naik taraf kemudahan Dermaga 9 dan lain-lain di Northport, serta projek mega Pulau Carey yang dijangka mampu meningkatkan kapasiti sehingga 30 juta TEU menjelang 2060.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg