Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar lelaki didakwa di mahkamah atas tuduhan bunuh rakan sekolah

Tuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin dalam prosiding tertutup, mahkamah tetapkan 21 Nov untuk sebutan semula kes
Oct 22, 2025 | 2:22 PM
pelajar, dituduh, bunuh, sekolah
Suasana pilu di Pusat Memorial Nirvana 2, Kuala Lumpur, pada 20 Oktober ketika upacara penghormatan terakhir mendiang Yap Shing Xuen, pelajar 16 tahun yang maut ditikam rakan sekolahnya pada 14 Oktober lalu. - Foto NSTP

Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam sehingga mati seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, pada 14 Oktober lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 22 Oktober.

Remaja lelaki itu yang belajar di sekolah sama didakwa atas tuduhan membunuh pelajar perempuan berkenaan, mendiang Yap Shing Xuen, 16 tahun, di sekolah terbabit pada 14 Oktober lalu.

Tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal dalam prosiding tertutup, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Encik Aqharie Durranie Aziz dan Cik Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Encik Anwar Ezzad Zainal.

Mengikut tuduhan, pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa membunuh remaja perempuan terbabit di sebuah tandas perempuan di sekolah dekat Bandar Utama itu antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan kejadian malang itu apabila seorang remaja perempuan maut ditikam berkali-kali dengan senjata tajam oleh seorang pelajar lelaki di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan.

Ibu mangsa, Cik Wong Lee Ping, mendakwa anak perempuannya mengalami kira-kira 200 kesan tikaman di beberapa bahagian badan.

Upacara persemadian mendiang Yap diselubungi suasana sayu dengan 100 belon berwarna biru dan putih, iaitu warna kegemaran mendiang dilepaskan ke udara pada 20 Oktober di Pusat Memorial Nirvana 2 di Kuala Lumpur, sebelum dibawa ke Krematorium Nirvana di Shah Alam, Selangor, bagi upacara pembakaran mayat.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, suspek diketahui mempunyai masalah pembelajaran dan mengikuti kelas peralihan, namun masih menyiasat dakwaan yang mengatakan remaja lelaki itu menghidap masalah mental.

Jelasnya, suspek ada menjalani proses kaunseling pemulihan di sekolah, tetapi ia bertujuan membaiki pencapaian dan kaedah pembelajaran, bukan berkait kesihatan mental atau personalitinya.

Insiden itu bukan saja meninggalkan trauma buat warga sekolah berkenaan khususnya pelajar apabila suspek turut dikatakan memasuki beberapa kelas selepas kejadian dengan memegang senjata, dan tangan serta bajunya ada kesan merah dipercayai darah.

Malah, rakaman video memaparkan suspek yang berpakaian sekolah berjalan santai sambil memegang objek tajam dipercayai pisau, turut tular di media sosial, sehingga menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.

Rakaman video yang dipercayai dirakam oleh pelajar lain itu juga menunjukkan suspek berjalan dalam kawasan gelanggang sekolah sambil meneguk air dari botol di tangan kanan, manakala tangan kirinya kelihatan menggenggam objek tajam yang dipercayai senjata digunakan dalam kejadian.

Seorang pelajar yang menyaksikan kejadian itu dilaporkan berkata suspek dikatakan meluahkan perasaannya kepada mangsa pada malam sebelum serangan, namun remaja perempuan berusia 16 tahun itu menolak kerana tidak mempunyai perasaan sama.

Ibu mangsa pula menafikan anaknya mengenali suspek.

Pengaruh permainan video serta kandungan media sosial tertentu dipercayai mungkin menjadi antara faktor pendorong tindakan kejam pelajar lelaki terbabit.

Mahkamah Majistret pada 22 Oktober membenarkan permohonan lisan peguam mewakili pelajar lelaki itu untuk menjalani pemeriksaan psikiatri. Mahkamah menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg