Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar perempuan maut ditikam pelajar lelaki di sekolah dekat Petaling Jaya

Oct 14, 2025 | 4:17 PM
selangor, stabbing
Polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian membabitkan seorang pelajar lelaki dipercayai menikam hingga maut seorang pelajar perempuan di sekolah di Petaling Jaya, Selangor, pada 14 Oktober. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selangor, pada 14 Oktober.

Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pelajar lelaki berkenaan, yang dipercayai terbabit dalam kejadian bunuh sekitar 9.30 pagi itu, telah ditahan polis.

“Ini satu kejadian yang menyedihkan, pelajar lelaki menikam pelajar perempuan dan mangsa disahkan maut di tempat kejadian.

“Motif kejadian masih dalam dalam siasatan dan tangkapan suspek sudah dibuat,” katanya pada sidang media selepas Program Anti Buli Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, pada 14 Oktober, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian malang itu, suspek yang juga pelajar Tingkatan 2 dilaporkan membawa senjata tajam dipercayai pisau ke sekolah.

Sementara itu, saksi yang juga seorang pelajar lelaki di sekolah terbabit mengakui rasa berdebar dan takut apabila suspek masuk ke kelas dengan memegang senjata, selain tangan dan bajunya ada kesan merah dipercayai darah.

Pelajar Tingkatan 1 itu mendakwa suspek masuk ke kelasnya dipercayai selepas kejadian, namun tidak mencederakan pelajar lain dalam kelas berkenaan.

“Dia hanya masuk kelas kami sambil bawa senjata tetapi dia tak acu (senjata) atau ugut kami.

“Pelajar itu hanya diam saja. Pelajar itu masuk kelas kami sekejap saja sebelum dia keluar dan saya tak tahu dia pergi mana selepas itu,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar mendakwa dia terdengar suspek berbisik kepada rakannya dengan mengatakan “you see later, what happen” (awak lihat nanti, apa yang akan berlaku) ketika mereka sedang berkumpul sebelum masuk ke kelas.

Dakwanya, ketika itu secara kebetulan dia berada di belakang pelajar terbabit, namun mengakui tidak mengenali atau berkawan dengan remaja lelaki itu.

“Kami juga nampak pelajar itu bawa senjata,” dakwanya.

Seorang lagi pelajar berkata dia terdengar suara jeritan pelajar perempuan di tandas aras bawah dari kelasnya di tingkat tiga, sebelum melihat seorang pelajar berlari ke bawah.

“Saya lihat ada budak lelaki berlari seperti mahu turun ke bawah (dipercayai untuk membantu). Pada mulanya saya ingatkan ada pelajar kena marah dengan cikgu atau ada kejadian lain.

“Sebelum itu juga saya ada nampak budak lelaki (dipercayai suspek) memegang senjata tajam,” dakwanya.

Sementara itu Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan semua aspek berhubung kes seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg