Pelajar menengah dua, Amanda (bukan nama sebenar), 14 tahun, ialah seorang pelajar yang suka menyendiri, tidak pernah ganggu sesiapa dan hanya buat hal sendiri.
Tetapi, pelajar lain di kelas dan sekolahnya suka mengganggu, sehingga tahap sering menarik tudungnya, mengejeknya ‘kepam’ dan busuk, sehingga dia mengalami tekanan emosi dan mahu pindah sekolah.
Ini antara kisah buli yang dikongsinya kepada Berita Harian (BH), membuktikan insiden buli di sekolah bukan kes terpencil, tetapi kian berleluasa.
Walaupun kes buli melibatkan Amanda, pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, kelihatan tidak begitu serius, namun jika dibiarkan akan membuka ruang lebih luas untuk pembuli menular dengan perbuatan yang lebih melampau dan kadangkala kejam.
Amanda berkata keadaan itu dilalui hampir setiap hari sejak menengah satu, namun tidak pernah dilaporkan kepada guru, kerana bimbang dengan ancaman si pembuli yang berkumpulan.
“Setiap kali mereka membuli, mereka akan bagi amaran jangan lapor pada cikgu, jika tidak mereka ugut mahu tumbuk.
“Saya pernah kongsi kejadian ini kepada keluarga dan ibu kemudian hubungi guru memaklumkan perkara ini, tetapi kejadian buli masih berlarutan, cuma tidak sekerap dulu,” kongsinya kepada BH.
Kejadian buli itu tidak hanya dialami Amanda, tetapi juga beberapa pelajar lain di sekolah itu, termasuk seorang pengawas sekolah.
Imani (bukan nama sebenar), 15 tahun, berkata sejak kes buli melibatkan kematian yang berlaku terhadap pelajar berusia 13 tahun di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, pada 17 Julai lalu, guru kerap mengulangi nasihat supaya pelajar tidak terlibat dengan perbuatan membuli pelajar lain.
“Tetapi nasihat guru tidak pernah diendahkan kerana mereka rasa berkuasa sebab berkumpulan. Saya sebagai pengawas pun sering dibuli, walaupun tidak dicederakan, tetapi mereka selalu lontarkan kata-kata menyakitkan, malah pernah memfitnah saya ponteng kepada guru,” katanya kepada BH.
Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Shila berkongsi bahawa anak lelakinya berusia 15 tahun pernah menjadi mangsa buli apabila wang belanja diambil rakan kelasnya, manakala bekal makanan anaknya dirampas dan dibuang pembuli yang juga rakan sekelasnya.
“Kejadian buli itu berlarutan agak lama, tetapi saya tidak pernah dimaklumkan oleh anak, sehinggalah satu hari dia pulang dalam keadaan rambutnya digunting oleh pembuli, ketika itu barulah semua kisah dia dibuli terbongkar.
“Ketika itu saya sangat marah dan buat laporan pada guru dan saya mohon untuk berjumpa ibu bapa pelajar itu tetapi tidak berjaya.
“Selepas itu kejadian buli masih berlaku, kemudian saya beri amaran kepada pihak sekolah sekiranya ia masih berlarutan saya akan buat laporan polis. Hanya selepas itu baru anak saya tidak dibuli lagi,” katanya.
Kejadian buli ini juga pernah menimpa beberapa selebriti yang turut terbuka berkongsi pengalaman pahit itu antaranya penyanyi Bella Astilah; pelakon Amir Ahnaf; penyanyi Hael Husaini dan Farahdhiya.
Farahdhiya yang berkongsi pengalamannya dibuli ketika di bangku sekolah di media sosialnya, berkata beliau pernah dipanggil dengan pelbagai gelaran, malah turut dilempar batu, diconteng nama dengan kata-kata kesat di makmal dan tandas sekolah, selain menerima surat ugutan.
Kata Farahdhiya, 41 tahun, kejadian buli itu berlarutan selama setahun, sehinggalah beliau mendapat keberanian pada satu hari untuk membalas perbuatan kasar pembuli dan sejak itu beliau tidak lagi menjadi mangsa buli.
“Satu hari seorang daripada mereka sentuh saya dan secara automatik saya balas dengan sepakan. Seorang tergolek, seorang lagi cuba tolong, tetapi dia tikam saya dengan pen. Nasib baik kena tangan saja. Sejak itu mereka tak kacau saya lagi kerana sangka saya fighter,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg