Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes buli pelajar Sabah: 5 remaja tidak mengaku salah

Lelaki sebar maklumat palsu dakwa kematian Allahyarhamha sebagai pembunuhan terancang ditahan
Aug 20, 2025 | 3:39 PM
Peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina Mahathir, Encik Hamid Ismail (depan). Gambar sisipan Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir.
Peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina Mahathir, Encik Hamid Ismail (depan). Gambar sisipan Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir. - Foto BERNAMA

Kes kematian pelajar di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, pada 17 Julai lalu, bukan saja membawa lima remaja ke muka pengadilan atas tuduhan mengeluarkan perkataan mencela terhadap mangsa, malah turut membongkar beberapa insiden penyebaran maklumat palsu berkaitan tragedi itu.

Berita Harian Malaysia melaporkan semua remaja perempuan berumur bawah 18 tahun itu yang identiti mereka tidak boleh didedahkan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, dalam prosiding tertutup pada 20 Jun.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamha Zara Qairina yang mana perkataan itu didengari yang mungkin menyebabkannya berasa terganggu dengan perkataan berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara kira-kira 10 hingga 11 malam pada 15 Julai lalu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nor Azizah Mohamad, yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata setiap tertuduh terbabit dibenarkan ikat jamin RM5,000 ($1,520) dengan deposit RM1,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Peguam Hamid Ismail, yang mengetuai pasukan peguam keluarga Allahyarhamha Zara Qairina menjelaskan mereka tidak dapat berkongsi butiran perjalanan kes kerana tertakluk kepada perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum.

“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa saja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah.

“Ia bukan sebab VIP atau ada perkara yang disembunyikan, ia disebabkan undang-undang yang melarang,” jelasnya.

Beliau turut memohon kerjasama saksi untuk tampil membantu siasatan kes yang masih berjalan.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok, ‘Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar’, yang menyamar sebagai pakar patologi serta mendakwa terlibat dalam bedah siasat Allahyarhamha.

Dalam kenyataan pada 19 Ogos, SKMM memaklumkan suspek telah dibawa ke di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, untuk dirakam keterangan dan peranti komunikasinya telah dirampas untuk dianalisis.

SKMM turut memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan bahawa suspek bukan seorang pakar patologi dan peranti komunikasinya telah dirampas untuk dianalisis.

Akaun TikTok itu mendedahkan dalam satu siaran langsung, individu itu mendakwa hadir ketika bedah siasat Allahyarhamha pada 10 Ogos, tetapi semakan KKM mengesahkan suspek bukan seorang pakar mahupun kakitangan kementerian terbabit.

Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyebarkan maklumat palsu menerusi video di TikTok yang mendakwa kematian Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir sebagai pembunuhan terancang.

Berdasarkan semakan mendapati video bertajuk ‘Pendedahan Penemuan Bukti Bedah Siasat Zara’ itu mengandungi audio perbualan penemuan kononnya berkaitan hasil bedah siasat Zara Qairina.

Video selama dua minit enam saat itu, kata Datuk Kumar, memaparkan kenyataan tidak benar berhubung siasatan kes Zara Qairina kerana menyifatkan kematian pelajar berkenaan sebagai pembunuhan terancang.

“Berikutan itu, tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun pada 18 Ogos, pada 10.20 malam dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kes itu,” katanya.

Suspek kini direman sehingga 21 Ogos untuk membantu siasatan. 

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan di Dewan Rakyat, seorang guru bahasa Inggeris mengakui kandungan TikTok dimuatnaik kononnya Zara Qairina meninggal dunia dengan cara dibuli dan dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya sekadar content (kandungan).

Allahyarhamha Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang dekat asrama sekolahnya di Sabah, pada 16 Ogos, dan mangsa disyaki menjadi mangsa buli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg