KUALA LUMPUR: Mendakwa tidak mahu terus menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual dalam talian, pelakon Malaysia, Sophia Albarakbah membuat laporan polis berhubung perkara itu, pada petang 8 Ogos.
Pengurus Sophia yang dikenali sebagai Nik Yasmin berkata pihaknya hanya akan berkongsi maklumat lanjut selepas laporan polis dibuat bagi menghormati prosedur siasatan.
“Maklumat penuh akan kami kongsikan kepada media selepas laporan polis selesai dibuat petang ini,” katanya, lapor Harian Metro.
Menerusi jemputan media yang diedarkan, Sophia atau nama penuhnya Sharifah Sophia Syed Abd Rahman 31 tahun, dijadual hadir ke sebuah balai polis di Kuala Lumpur, bagi membuat laporan rasmi, sebelum mengadakan sidang media.
Dalam kenyataan rasmi daripada firma guaman Tetuan Aizat Izuan Shakeel, pihaknya memaklumkan laporan polis itu dibuat sebagai langkah mempertahankan hak anak guamnya daripada terus menjadi mangsa buli digital.
“Kami selaku peguam kepada selebriti dikenali sebagai Sophia Albarakbah ingin memaklumkan bahawa anak guam kami akan membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual dalam talian yang menimpa beliau.
“Satu kenyataan dan sidang media juga akan disampaikan untuk memberikan pencerahan mengenai laporan polis yang akan dibuat serta usaha lanjut untuk menangani isu buli digital terhadap wanita di industri hiburan,” kata kenyataan itu.
Sejak 3 Ogos lalu, Sophia yang mula dikenali menerusi filem Mimaland, menjadi topik hangat selepas ‘disatukan’ dengan penyanyi dan pelakon Bella Astillah di pentas Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 apabila Sophia diumum meraih trofi Selebriti Feminin Terhangat yang disampaikan Bella.
Detik itu mencetuskan suasana canggung apabila Bella didakwa menggigil dan dilihat tidak selesa apabila terpaksa menyampaikan anugerah kepada Sophia.
Pada anugerah itu Bella dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang sedang hangat dikatakan bercinta, menjadi penyampai anugerah berkenaan.
Semasa mengumumkan pemenang bagi anugerah itu, Bella sempat mengeluarkan kata-kata ‘pedas’ berbunyi, ‘yang ini, saya kenal… kenal sangat. Sophia!.
Sophia sebelum ini pada 2023 dilapor pernah berdepan konflik apabila mantan suami Bella, iaitu Aliff Aziz, didakwa menjalin hubungan dengan aktres berkenaan, sejak mereka terbabit dalam penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg