Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akta Keselamatan Dalam Talian mula 1 Jan dilaksana kekang jenayah siber

Ini berikutan kerugian RM2.77b akibat penipuan dalam talian, peningkatan ratusan kes eksploitasi seksual kanak-kanak
Jan 2, 2026 | 1:04 PM
Akta, Kawalan, Siber, Jenayah
Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Onsa) di Malaysia bermula 1 Januari 2026 demi memperkukuh usaha melindungi pengguna termasuk kanak-kanak daripada dieksploitasi, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti serta kandungan ekstremis. - Foto hiasan BHM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Onsa) merupakan langkah penting bagi memastikan platform digital memikul tanggungjawab dalam membendung penularan kandungan berbahaya serta menutup ruang kepada aktiviti jenayah siber, kata Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Khalid Ismail.

Datuk Mohd Khalid berkata Onsa yang berkuat kuasa mulai 1 Januari mengkehendaki penyedia platform digital mengambil tanggungjawab lebih besar dalam melindungi orang ramai daripada ancaman siber yang semakin serius dan memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata Onsa juga memperkukuh langkah sedia ada untuk melindungi pengguna daripada eksploitasi kanak-kanak, penipuan dalam talian, penyalahgunaan identiti serta kandungan ekstremis.

Kerugian RM2.77 bilion ($880 juta) akibat penipuan dalam talian serta peningkatan ratusan kes eksploitasi seksual kanak-kanak menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan keperluan pelaksanaan Onsa.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan memberi kesan langsung kepada keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

“Rekod PDRM menunjukkan rakyat Malaysia menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian dari Januari 2023 hingga November 2025.

“Dalam tempoh sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 688 kes direkodkan dari Januari 2021 hingga November 2025.

“Selain itu, kes berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak atau CSAM pula merekodkan 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Januari, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Datuk Mohd Khalid berkata trend berkenaan jelas menunjukkan jenayah dalam talian bukan lagi ancaman terpencil, sebaliknya memberi kesan besar kepada mangsa, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.

PDRM menyokong penuh pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Onsa yang bermula pada 1 Januari 2026.

PDRM akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan kementerian berkaitan, selain penyedia platform digital melalui pendekatan menyeluruh kerajaan, bagi memastikan tindakan terhadap jenayah siber dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“PDRM yakin Onsa akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara, serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi landskap siber yang semakin kompleks,” katanya.

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail, berkata walaupun peranan ibu bapa kekal sebagai lapisan keselamatan pertama kepada kanak-kanak, sokongan berstruktur seperti Onsa amat diperlukan.

“Kanak-kanak lebih terdedah kepada grooming (pemancingan atau antunan seksual) apabila wujud keperluan emosi yang tidak dipenuhi, kesunyian, kurang pengawasan dan pendedahan awal tanpa literasi keselamatan, sekali gus menjadikan reka bentuk selamat serta pengesanan awal oleh platform sebagai keperluan wajib dan bukan pilihan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg