Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu: Akta Keselamatan Dalam Talian bakal cipta ruang digital selamat

Osra bukan menakutkan, tapi lindungi, wujud ruang selamat berkongsi dan belajar
Nov 24, 2025 | 5:00 PM
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dalam rakaman podcast BHerbual.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dalam rakaman podcast BHerbual. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Gangguan, penyamaran identiti, penyebaran gambar intim dan budaya mengecam secara terbuka kian lumrah dalam dunia digital hari ini.

Bagi mengawal fenomena itu, Parlimen pada 5 November meluluskan undang-undang baru – Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) atau Osra – bagi memperkukuh perlindungan pengguna di ruang siber.

Di bawah rang itu, sebuah agensi baru, Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC), akan ditubuhkan dan dijadual mula beroperasi pada Jun 2026.

Agensi baru itu akan mentadbir mekanisme pelaporan berkanun yang membolehkan mangsa mendapatkan penyelesaian tepat pada masanya daripada bahaya dalam talian tertentu.

Dalam satu rakaman podcast BHerbual pada 14 November, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, menjelaskan bahawa Osra penting kerana kehidupan masyarakat hari ini semakin berkait rapat dengan ruang dalam talian – sama ada untuk bekerja, berkomunikasi atau bersosial.

Beliau berkata: “Hidup kita bukan lagi sekadar fizikal. Dunia dalam talian merupakan sebahagian besar kehidupan moden.

“Walaupun digital menawarkan banyak manfaat, ia juga penuh risiko, terutama untuk golongan muda.

“Kita tidak boleh hanya bergantung pada platform; kita perlukan sistem yang memperkasa mangsa untuk melindungi diri.”

Sebelum Osra, ramai mangsa terpaksa melalui proses panjang dan mahal – termasuk membawa kes ke mahkamah – untuk memohon supaya kandungan berbahaya diturunkan.

Kajian Persepsi Pendigitalan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) 2025, lebih empat daripada lima (84 peratus) responden di Singapura pernah terdedah kepada kandungan berbahaya dalam talian.

Satu pertiga (33 peratus) mengalami tingkah laku dalam talian yang menyakitkan pada 2024.

Kandungan seksual, ganas, dan buli siber adalah jenis bahaya yang paling kerap dilaporkan.

“Selama ini, mangsa hanya boleh melapor kepada platform dan berharap tindakan diambil.

“Kita dapati ada platform ambil masa lima hari atau lebih. Dalam tempoh itu, reputasi mangsa mungkin sudah tercemar,” ujar Cik Rahayu.

“Dengan Osra, mangsa ada kuasa. Mereka boleh buat laporan dan mendapatkan arahan agar kandungan itu diturunkan tanpa perlu melalui proses undang-undang yang kompleks,” tambahnya.

Platform kini diwajibkan memberi respons bermakna dalam tempoh 24 jam.

Jika gagal, mangsa boleh terus menghubungi OSC.

Walaupun terdapat 13 kategori kemudaratan dalam talian di bawah Osra, pemerintah akan memulakan pelaksanaan secara berperingkat pada 2026.

Ia menumpukan lima kategori paling serius: Gangguan dalam talian, doxing (dedah maya), pengintipan siber, penyebaran gambar intim tanpa izin, dan kandungan penderaan kanak-kanak.

Cik Rahayu menjelaskan langkah berfasa itu paling penting bagi memastikan pelaksanaan undang-undang dapat dilakukan dengan teliti dan berkesan.

“Ini (OSC) adalah agensi baru dan ruang digital ini kompleks. Kita mulakan dengan kesan paling teruk kesan kepada mangsa dan yang paling banyak dilaporkan.

“Kita mahu lakukan dengan teliti – bukan tergesa-gesa. Ini bukan undang-undang simbolik; ia perlu berfungsi dalam kehidupan sebenar.”

Imbas kod QR untuk mendengar podcast di Spotify.
Imbas kod QR untuk mendengar podcast di Spotify. - Foto BH

Dalam podcast BHerbual itu juga, Cik Rahayu turut menyentuh kebimbangan bahawa undang-undang itu mungkin menjejas kebebasan bersuara.

Namun, Cik Rahayu menyangkal tanggapan tersebut.

Beliau menambah: “Ramai takut bersuara hari ini bukan kerana undang-undang – tetapi kerana budaya kecam-mengecam, doxing dan ‘cancel culture’.

“Kita mahu ruang digital di mana orang boleh (mempunyai) berbeza pendapat tanpa dihina atau diburu.

“Kritikan yang membina dibenarkan, tetapi serangan peribadi, penyebaran alamat rumah atau menyasarkan keluarga seseorang – itu bukan budaya yang sihat.”

Beliau menegaskan, Osra memberi tumpuan pada “siapa yang terkesan” – bukan siapa yang paling lantang.

Selain peraturan, pemerintah memberi tumpuan pada usaha mendidik masyarakat – terutama ibu bapa dan pelajar sekolah.

“Undang-undang sahaja tidak mencukupi. Kita perlukan usaha pendidikan.

“Ramai ibu bapa sendiri rasa anak mereka lebih mahir daripada mereka dalam dunia digital.

“Jadi kita sediakan panduan, bengkel, sumber serta alat kawalan ibu bapa supaya mereka tidak keseorangan dalam dunia yang semakin kompleks ini.”

Walaupun perubahan budaya digital mengambil masa, Cik Rahayu berkata beliau kekal optimis.

“Kita tidak mahu ruang digital menjadi tempat yang ditakuti orang ramai.

“Kita mahu ia menjadi ruang yang selamat untuk berkongsi pandangan, berkawan, dan belajar.

“Osra bukan penghujung – ia permulaan untuk membentuk tingkah laku baru dalam dunia digital,” kata beliau.

“Selama ini, mangsa hanya boleh melapor kepada platform dan berharap tindakan diambil. Kita dapati ada platform ambil masa lima hari atau lebih. Dalam tempoh itu, reputasi mangsa mungkin sudah tercemar. Dengan Osra, mangsa ada kuasa. Mereka boleh buat laporan dan mendapatkan arahan agar kandungan itu diturunkan tanpa perlu melalui proses undang-undang yang kompleks.”
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg