JOHOR BAHRU: Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) bakal menjadi asas utama dalam mengubah landskap ekonomi negeri ini menerusi pembangunan yang lebih tersusun, seimbang dan berpaksikan kekuatan unik setiap daerah menjelang 2030.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelan pembangunan ekonomi jangka panjang itu dirangka bagi memastikan Johor muncul sebagai negeri maju, berdaya saing serta berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata menerusi JETP, Johor menyasarkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) sebanyak RM260 bilion ($80 bilion) menjelang 2030, selain meningkatkan GDP per kapita kepada RM69,000.

Menurutnya, pelan berkenaan turut menetapkan sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baru termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan premium bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“JETP bukan sekadar pelan ekonomi, tetapi satu hala tuju yang jelas untuk memastikan pembangunan Johor berlaku secara lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.

“Kami mahu memastikan setiap daerah memainkan peranan berdasarkan kelebihan dan potensi masing-masing supaya pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih seimbang,” katanya.

Berdasarkan pelan berkenaan, Johor Bahru dan Kulai akan berfungsi sebagai hab kecerdasan buatan (AI), perkilangan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa serta perkhidmatan berorientasikan eksport.

Kota Tinggi pula bakal dibangunkan sebagai gerbang tenaga, hab kimia hijau, pertanian dan pelancongan, manakala Mersing akan diberi tumpuan sebagai hab ekonomi biru dan eko-pelancongan.

Kluang disasarkan menjadi hab agro-pemprosesan bernilai tinggi, pertanian dan bioproses, sementara Segamat akan berperanan sebagai zon tanaman bernilai tinggi serta pemprosesan biojisim.

Tangkak pula akan diperkasakan sebagai pusat strategik dan agro-pelancongan, manakala Muar akan menjadi kompleks tenaga perindustrian selain pusat pelancongan dan industri pemprosesan makanan bernilai tinggi.

Batu Pahat akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat industri pemprosesan dan pembuatan, sementara Pontian akan dibangunkan sebagai hab tenaga biru-hijau dan produk akuakultur.

Datuk Onn Hafiz berkata pendekatan pembangunan berasaskan daerah itu penting bagi memastikan limpahan pelaburan, peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan selatan Johor semata-mata.

“Setiap daerah mempunyai kekuatan tersendiri dan JETP akan memastikan potensi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya demi mewujudkan pertumbuhan yang lebih menyeluruh dan mampan,” katanya.

Dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan agenda berkenaan, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Johor Regulatory Sandbox yang membolehkan dasar, teknologi dan model perniagaan baru diuji serta dilaksanakan dengan lebih pantas.

Menurut beliau, pendekatan itu akan membantu memperkukuh kedudukan Johor sebagai negeri yang progresif, inovatif dan mesra pelabur, selain meningkatkan keupayaan negeri menarik pelaburan bernilai tinggi.

Beliau berkata segala perancangan yang digariskan menerusi JETP diharap dapat direalisasikan dengan jayanya bagi memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bermutu serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh rakyat Johor.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Johor akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri maju yang bukan sahaja cemerlang dari segi ekonomi, malah mampu menawarkan kehidupan yang lebih sejahtera kepada rakyat,” katanya.

“JETP (Pelan Transformasi Ekonomi Johor) bukan sekadar pelan ekonomi, tetapi satu hala tuju yang jelas untuk memastikan pembangunan Johor berlaku secara lebih menyeluruh dan memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Kami mahu memastikan setiap daerah memainkan peranan berdasarkan kelebihan dan potensi masing-masing supaya pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih seimbang.”
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.