Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelan Transformasi Ekonomi Johor buka laluan 200,000 pekerjaan baru
Pelan Transformasi Ekonomi Johor buka laluan 200,000 pekerjaan baru
Anak muda Johor penerima manfaat terbesar
Pelan Transformasi Ekonomi Johor buka laluan 200,000 pekerjaan baru
Golongan muda dijangka menjadi penerima manfaat terbesar Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), sebuah pemacu utama aspirasi negeri maju menjelang 2030.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, menyifatkan pelan yang dilancarkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 18 Jun itu sebagai visi masa depan yang luas buat generasi muda negeri ini.
Sasaran 200,000 peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi menerusi JETP ini bakal membuka lembaran baharu buat anak muda yang mencari kerjaya dalam sektor ekonomi berimpak tinggi.
“Orang muda Johor merupakan penerima manfaat terbesar daripada pelaksanaan JETP.
“Melalui sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu yang berkualiti dan berpendapatan tinggi, generasi muda Johor akan menikmati akses yang lebih luas kepada peluang kerjaya yang menawarkan prospek masa depan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Jun.
Beliau berkata, JETP turut memperkasa pembangunan modal insan menerusi pelaburan dalam pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta kemahiran digital.
“Langkah ini penting bagi memastikan orang muda Johor memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Selain peluang pekerjaan, pelan ini membuka ruang buat usahawan muda untuk berkembang dalam sektor-sektor strategik negeri.
Sektor-sektor tumpuan merangkumi tenaga, kimia dan petrokimia, kesihatan dan farmaseutikal, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, logistik, pelancongan, serta pertanian moden.
“Pelaksanaan JETP dijangka mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk usahawan muda berkembang melalui akses yang lebih baik kepada pembiayaan, infrastruktur digital yang lebih kukuh dan pasaran yang lebih luas,” katanya.
Pendekatan pembangunan menyeluruh JETP juga memastikan setiap daerah di Johor mendapat manfaat pembangunan berdasarkan potensi masing-masing.
“Strategi ini penting bagi memastikan limpahan ekonomi tidak hanya tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya dinikmati secara seimbang oleh seluruh rakyat Johor,” tambah beliau.
