KUALA LUMPUR: Pelancong antarabangsa ke Malaysia kini boleh membuat pembayaran tanpa tunai di seluruh negara menggunakan kad prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia, yang menyokong transaksi menerusi rangkaian Visa dan DuitNow QR (respons pantas).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata kemudahan itu membolehkan pelancong berbelanja di pelbagai premis, termasuk perniagaan mikro yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Beliau berkata usaha menarik pelancong ke Malaysia perlu disokong kemudahan pembayaran yang mudah, supaya perbelanjaan mereka dapat memberikan manfaat lebih menyeluruh kepada ekonomi tempatan.

“Selain pembayaran menerusi rangkaian Visa dan DuitNow QR, kad itu turut menyokong transaksi tanpa sentuh melalui Google Wallet dan Samsung Wallet, serta akses kepada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Visa Plus di seluruh dunia.

“Pelancong antarabangsa boleh mendaftar untuk mendapatkan kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia menerusi rangkaian cawangan Merchantrade di seluruh negara.

“Ia termasuk Pavilion KL, The Gardens, Mid Valley Megamall, selain Imago Mall di Sabah,” katanya, lapor laman web Buletin TV3.

Datuk Tiong berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dan Merchantrade Asia serta pelancaran kad berkenaan, pada 19 November.

Kad prabayar itu membolehkan pelancong menukar dana kepada ringgit dan membuat pembayaran di hotel, pusat beli-belah, pasar, gerai jalanan serta premis lain yang menerima Visa atau DuitNow QR.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pelancong juga boleh menambah nilai kad menggunakan kad kredit asing, selain membuat pembayaran tanpa sentuh menggunakan peranti yang menyokong Google Wallet dan Samsung Wallet.

Datuk Tiong berkata kad dan aplikasi Merchantrade Money turut dipromosikan menerusi 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara, termasuk London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.

Menurutnya inisiatif berkenaan bertujuan memastikan manfaat sektor pelancongan dapat dinikmati lebih ramai pengusaha tempatan.

Ini termasuk penjaja, pengusaha kraf, pembuat batik dan perusahaan mikro yang dikendalikan rakyat tempatan.

Malaysia telah melanjutkan pelaksanaan VMY2026 sehingga penghujung 2027, dengan mengambil kira perkembangan semasa, termasuk konflik yang tercetus di Timur Tengah pada 28 Februari lalu, yang memberi kesan ketara terhadap kestabilan serantau, termasuk sektor pelancongan Malaysia.