Tindakan sekumpulan pelancong wanita itu yang menutup hidung sambil menjerit perkataan ‘busuk’ dan ‘tak mandi’ bukan sahaja dianggap biadab dan mendapat kecaman warga Malaysia.

Malah, ia turut menjadi tajuk berita portal media antarabangsa, sekali gus menjejaskan imej dan nama baik Malaysia.

Kenyataan permohonan maaf itu dikeluarkan di wadah media sosial, TikTok menerusi akaun Cik Nur Asyiqin Mohd Dalil pada 20 Jun, selepas lima hari video yang menjentik sensitiviti ramai itu tular pada 15 Jun.

Dalam kenyataan itu, wanita berkenaan berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesilapan yang telah dilakukan dan menyesali perbuatannya dan beberapa rakan.

“Saya dengan rendah diri serta seikhlas hati ingin memohon maaf atas isu yang tular, iaitu kekhilafan reaksi spontan saya ketika bercuti di China pada 15 Jun lalu.

“Saya faham dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada mana-mana pihak.

“Saya menghormati pandangan, teguran dan perasaan semua pihak serta tidak pernah berniat untuk menyinggung, mengaibkan atau menimbulkan sebarang konflik kerana ketika itu ia hanyalah reaksi spontan yang tidak dirancang.

“Sesungguhnya, saya menyesali perbuatan saya dan menginsafi tindakan saya yang keterlaluan. Daripada insiden ini, saya akan lebih berhati-hati dan lebih peka dengan sensitiviti masyarakat,” katanya menerusi akaun TikTok miliknya, @ekyn_wong.

Video berkenaan telah diturunkan daripada media sosial Cik Nur Asyiqin, namun sempat dikongsikan oleh pengguna media sosial dan dilaporkan portal berita antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat.

Rakaman video itu menunjukkan individu tidak dikenali dirakam di tempat awam sambil diperlekehkan menggunakan bahasa Melayu.

Berikutan insiden itu, ramai pengguna media sosial turut memberi peringatan agar pelancong Malaysia sentiasa menjaga adab dan menghormati budaya masyarakat di negara yang dilawati.