Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelancongan, kemudahan sukan antara fokus pembangunan Endau
Pelancongan, kemudahan sukan antara fokus pembangunan Endau
Adun mahu tarikan baharu di pesisir Mersing, bina gelanggang sukan untuk belia
Pelancongan, kemudahan sukan antara fokus pembangunan Endau
Pembangunan sektor pelancongan dan penyediaan kemudahan sukan bertaraf piawaian menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau, Cik Alwiyah Talib, selepas berjaya mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Cik Alwiyah berkata kawasan Endau mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama negeri, terutama dengan kewujudan pelbagai produk pelancongan di sepanjang pesisir pantai Mersing.
Katanya, lokasi seperti Teluk Penyabong, Tanjung Resang, Air Papan serta beberapa penempatan Orang Asli kini semakin mendapat perhatian pelancong dengan pertumbuhan inap desa yang semakin pesat.
“Saya mahu sektor pelancongan terus diberi perhatian. Sekarang ini sudah banyak inap desa dari Air Merah hingga Endau, termasuk di kampung Orang Asli.
“Jadi saya berharap lebih banyak kemudahan dan tarikan baharu dapat diwujudkan bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke daerah Mersing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata demikian ketika mengulas perancangan pembangunan kawasan Endau bagi penggal pentadbiran baharu.
Menurut Cik Alwiyah, antara cadangan yang ingin direalisasikan ialah pembangunan kemudahan rekreasi keluarga di Air Papan, termasuk tarikan seperti taman tema air berskala kecil dan kemudahan hiburan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Selain sektor pelancongan, Presiden Persatuan Bola Jaring Johor itu juga turut mahu meningkatkan kemudahan sukan, khususnya bagi golongan belia di Mersing.
Katanya, daerah itu masih belum memiliki gelanggang bola jaring yang memenuhi spesifikasi pertandingan rasmi, menyebabkan atlet tempatan terpaksa menggunakan kemudahan serbaguna yang tidak menepati piawaian.
“Bukan sahaja bola jaring, tetapi kita perlukan sebuah dewan atau kompleks sukan yang boleh digunakan untuk pelbagai jenis sukan.
“Ketika ini memang tiada kemudahan seperti itu di Mersing. Sudah tiba masanya kita menyediakan ruang yang lebih baik untuk anak-anak muda menjalankan aktiviti sukan,” katanya.
Pada PRN Johor ke-16, Cik Alwiyah berjaya mempertahankan kerusi DUN Endau selepas memperoleh 8,509 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Encik Hasnul Hakimi Hussin yang meraih 5,431 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Encik Saiful Nizam Samat (2,302 undi) serta calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Encik Jati Awang (370 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,078 undi.
Kemenangan itu turut mencuri perhatian apabila Cik Alwiyah kembali bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas menyertai semula Umno pada Jun 2026.
Beliau sebelum ini memenangi kerusi Endau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Umno sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2018.
Pada PRN Johor 2022, beliau mempertahankan kerusi itu atas tiket Perikatan Nasional (PN), sebelum mengumumkan keluar Bersatu dan kembali menyertai Umno pada 4 Jun kerana mahu memberi tumpuan kepada kepentingan dan masa depan penduduk DUN Endau.
