Konflik di Asia Barat telah menghimpit rantaian bekalan dan harga bahan mentah, lantas meningkatkan kos operasi dan mula menghakis jumlah pelanggan Singapura di gerai dan restoran makanan Johor.

Peniaga menjangkakan, kenaikan harga makanan mungkin tidak dapat dielakkan dalam masa terdekat, andai kata lonjakan kos operasi ini berterusan.

Di Desaru, Encik Muhammad Ashraff Syahmi Rohamizan, 24 tahun, pemilik Desaru Utama Seafood, berkata beliau masih bertahan dengan harga menu sedia ada, meskipun harga bahan mentah, terutama makanan laut, bergolak.

“Harga barang ada yang naik, ada yang turun, mengikut bekalan nelayan. Kos minyak juga memberatkan mereka.

“Kami belum naikkan harga menu mahal lagi. Kami memilih untuk menanggung sedikit kerugian demi mengekalkan kesetiaan pelanggan,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Beliau turut akur, perniagaan semakin terkesan, bukan sahaja kerana kos perjalanan yang meningkat, tetapi juga kekurangan pelanggan luar, termasuk dari Singapura.

Sambutan pelanggan juga dilihat perlahan sejak akhir-akhir ini.

Sementara itu, di Johor Bahru, Encik Zarief Ashraf Halid, 28 tahun, pemilik Warong Tokyah, meluahkan kebimbangan. Kenaikan harga bahan mentah daripada pembekal kini menjadi tekanan utama kepada pengusaha makanan untuk meneruskan operasi.

Pemilik Warong Tokyah, Encik Zarief Ashraf Halid, berkata walaupun kenaikan harga mungkin berlaku, peniaga perlu terus mengekalkan mutu makanan dan perkhidmatan bagi memastikan pelanggan terus menyokong perniagaan.
Pemilik Warong Tokyah, Encik Zarief Ashraf Halid, berkata walaupun kenaikan harga mungkin berlaku, peniaga perlu terus mengekalkan mutu makanan dan perkhidmatan bagi memastikan pelanggan terus menyokong perniagaan. - Foto Fail

“Peningkatan kos memang berlaku dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan.

“Kami perlu memastikan ada keseimbangan antara harga yang dikenakan kepada pelanggan dan keperluan untuk menampung kos operasi termasuk gaji pekerja,” katanya.

Menurut beliau, walaupun kenaikan harga mungkin berlaku, peniaga perlu terus mengekalkan mutu makanan dan perkhidmatan bagi memastikan pelanggan terus menyokong perniagaan.

“Pelanggan adalah pihak yang membantu kami terus bertahan, jadi persefahaman antara peniaga dan pelanggan amat penting,” katanya.

Pemilik Adam’s Kitchen, Encik Redzuan Thian, 46 tahun, berkata perniagaannya belum menaikkan harga makanan, meskipun berdepan tekanan kos. Perniagaan agak perlahan, terutama sepanjang Ramadan dan musim perayaan kerana pengguna lebih berjimat cermat.

“Buat masa ini, kami belum naikkan harga. Kami pantau keadaan semasa dan susun strategi, seperti promosi dan menu baharu untuk menarik pelanggan,” jelasnya.

Kira-kira 10 peratus pelanggan beliau dari Singapura, dan jumlah kunjungan mereka semakin berkurangan, mungkin juga kerana ingin berjimat. Keadaan ini turut menjejaskan dua cawangan perniagaannya di Taman Daya dan Kota Masai.

Sementara itu, Pengerusi Ayam Gepuk Republik, Datuk Seri Sulaiman Sainudin, memberitahu bahawa walaupun kos bahan mentah utama seperti ayam, beras, dan minyak masak masih stabil, penurunan jumlah pelanggan memberi impak besar kepada jualan.

Pengerusi Ayam Gepuk Republik, Datuk Seri Sulaiman Sainudin.
Pengerusi Ayam Gepuk Republik, Datuk Seri Sulaiman Sainudin. - Foto ihsan DATUK SERI SULAIMAN SAINUDIN

Menurut beliau, sebelum ini premisnya di Angsana Mall Johor Bahru menerima kira-kira 70 peratus pelanggan dari Singapura, namun jumlah itu kini berkurangan ketara.

“Sekarang ini jualan saya turun hampir 50 peratus. Kehadiran pelanggan Singapura memang berkurang.

“Dulu hujung minggu ada empat bas pelancong datang, tetapi sekarang sudah tiada,” katanya.

Jelasnya, walaupun berdepan penurunan jualan, pihaknya masih mengekalkan harga makanan kerana kos bahan mentah belum menunjukkan peningkatan ketara.

Namun tekanan kini lebih dirasai dari segi kos tenaga kerja apabila pekerja mula meminta pelarasan gaji susulan peningkatan kos perjalanan.

“Setakat ini kita masih boleh kekalkan operasi seperti biasa kerana masih ada subsidi bahan api.

“Jika subsidi ditarik, kita mungkin perlu mempertimbangkan kenaikan gaji pekerja,” katanya.

Katanya, buat masa ini pihaknya hanya mampu menunggu dan berharap penurunan pelanggan bersifat sementara.