Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenangguhan pelan induk JS-SEZ langkah strategik, dasar lebih mampan
Penangguhan pelan induk JS-SEZ langkah strategik, dasar lebih mampan
Langkah beri ruang kerajaan negeri susun semula perancangan ekoran ketidaktentuan ekonomi sejagat
Penangguhan pelan induk JS-SEZ langkah strategik, dasar lebih mampan
Penangguhan pelancaran pelan induk dan rangka pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) perlu dilihat sebagai langkah penting bagi membolehkan kerajaan negeri merangka dasar terbaik dan lebih mampan untuk masa depan Johor.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Johor Bahru, Datuk Jeffrey Lai Jiun Jye, berkata walaupun pihaknya berharap pelan induk itu dapat dilancarkan secepat mungkin, kerajaan negeri perlu diberikan masa mencukupi untuk membuat perancangan terbaik.
Menurut beliau, keadaan ekonomi sejagat yang tidak menentu termasuk konflik di Asia Barat, kenaikan harga minyak dan peningkatan kos api air memberi kesan pada pelaksanaan JS-SEZ.
Faktor itu memerlukan kerajaan negeri menyusun semula perancangan dan dasar supaya inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan secara lebih mampan, jelasnya.
“Kerajaan negeri sedang bekerja keras untuk membawa lebih banyak pelaburan langsung asing ke Johor.
“Namun, disebabkan perang di Asia Barat, krisis minyak dan kenaikan kos api air, kerajaan perlu mempunyai perancangan yang baik untuk memastikan kelestarian JS-SEZ,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Datuk Lai berkata beliau melihat sendiri usaha gigih Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika menyertai lawatan kerja ke Shanghai pada 3 April.
Menurut beliau, Menteri Besar bersama delegasi kerajaan negeri memulakan mesyuarat seawal 7.30 pagi dan berusaha bertemu hampir semua pelabur yang telah menyatakan komitmen untuk melabur di Johor.
Usaha membawa pelaburan ke Johor tidak seharusnya digalas oleh kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan semua pihak termasuk persatuan dan rakyat Johor, tambah beliau.
“Sebagai rakyat Johor, kita perlu menjadi duta dan jurucakap kepada negeri ini.
“Kita perlu membantu kerajaan negeri menceritakan perkara yang baik mengenai Johor bagi memastikan negeri ini dapat terus bergerak ke arah menjadi negeri berpendapatan tinggi,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor, Encik Segar Rajoo, menjelaskan penangguhan itu akan membantu memastikan pelaksanaan JS-SEZ dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan mampan.
Minat pelaburan yang semakin kukuh di Johor menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap inisiatif JS-SEZ, ujar beliau.
“Dalam keadaan konflik berterusan di Asia Barat yang dijangka meningkatkan kos sejagat dan mewujudkan ketidaktentuan ekonomi, pelaksanaan yang dirancang dengan baik dan pada masa yang sesuai menjadi semakin penting.
“Penangguhan ini memberi ruang kepada Johor untuk meletakkan diri pada kedudukan lebih baik bagi menarik pelaburan dan mengurus cabaran masa depan,” katanya.
Beliau juga berkata inisiatif JS-SEZ dijangka mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan yang akan membawa manfaat besar kepada rakyat Johor.
Menurut beliau, peluang pekerjaan baru itu akan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan dan limpahan ekonomi lebih meluas kepada negeri.
Terdahulu, The Business Times melaporkan Johor menangguhkan pelancaran pelan induk dan rangka pelaburan JS-SEZ yang dinanti-nantikan bagi memberi ruang kepada penyelarasan lebih menyeluruh, melibatkan agensi persekutuan demi memastikan daya tahan jangka panjang inisiatif tersebut.
Pelan induk dan rangka pelaburan JS-SEZ itu, sebelum ini, dijadual dilancarkan pada 30 Mac, namun ditangguhkan.
Pelan tersebut bertujuan menjadikan zon berkenaan sebagai hab pertumbuhan tinggi dengan sasaran menjana Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Johor sebanyak RM260 bilion ($83 bilion) menjelang 2030 serta mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
