Pelanggan S’pura buru kuih tradisi Tionghao dari M’sia jelang Tahun Baru Cina

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelanggan S’pura buru kuih tradisi Tionghao dari M’sia jelang Tahun Baru Cina

Pengusaha Muslim hasilkan kuih bulan dan kuih bakul masyarakat Cina dalam versi halal
Feb 16, 2026 | 5:30 AM

Pelanggan S’pura buru kuih tradisi Tionghao dari M’sia jelang Tahun Baru Cina

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Cik Ainul Husna Saifudin, kuih bulan, kuih bakul, s’pura, malaysia, tahun baru cina
Pengusaha dari Malaysia, Cik Ainul Husna Saifudin, bukan sahaja menawarkan 25 perisa kuih bulan, malah penampilan kuihnya yang cantik dan berwarna-warni itu menarik perhatian pelanggan. - Foto ihsan AINUL HUSNA SAIFUDIN

Menjelang sambutan Tahun Baru Cina, kuih bakul dan kuih bulan halal keluaran pengusaha Muslim di Malaysia bukan lagi sekadar juadah tradisi masyarakat tempatan.

Ia malah tampil sebagai produk kreatif yang turut menarik pelanggan merentas sempadan. 

Daripada rekaan berwarna-warni hingga perisa moden yang mendapat cetusan inspirasi daripada cita rasa kontemporari, inovasi kreatif pengusaha Muslim kuih tradisi masyarakat Cina itu berjaya menggamit perhatian pelanggan dari Singapura, terutama masyarakat Muslim untuk mendapatkan kuih bulan dan kuih bakul halal.

Bagi pengusaha, Cik Ainul Husna Saifudin, 34 tahun, keputusan untuk menghasilkan kuih bulan halal pada 2017 merupakan percubaan kecil ketika terpaksa berehat panjang di rumah.

Bagaimanapun, ia akhirnya membuka pasaran yang tidak pernah dibayangkannya, termasuk di Singapura dan beberapa negara jiran.

Cik Ainul, lulusan kejuruteraan awam mula menghasilkan kuih bulan selepas terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kakinya patah sekali gus memaksanya berehat di rumah selama enam bulan.

“Waktu itu saya tak boleh bergerak apalagi bekerja. Ketika melayari media sosial, saya nampak ada banyak permintaan kuih bulan halal, tapi tak ramai yang jual dan sukar diperolehi. Jadi saya fikir kenapa tidak saya cuba? 

“Saya tak sangka keputusan untuk menjual kuih bulan halal dulu adalah pilihan tepat, malah paling tidak sangka pelanggan saya bukan saja dari Malaysia, malah dari Singapura dan negara jiran lain,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).

Meskipun kakinya patah, Cik Ainul memulakan langkah dengan berusaha belajar membuat kuih tradisi itu menerusi video di YouTube.

Namun, demi memastikan hasil yang lebih kemas dan profesional, beliau kemudian mengikuti kelas khusus untuk memperhalusi teknik serta menghasilkan kuih bulan yang lebih menarik.

Daripada sekadar menghasilkan untuk keluarga, Cik Ainul berkata tempahan kemudian mula meningkat melalui promosi di media sosial, dan perniagaan yang bermula dari rumah itu kemudian berkembang kepada sebuah kedai di Skudai, Johor, yang kini sudah hampir tujuh tahun beroperasi.

Kini, menurut Cik Ainul kira-kira 15 peratus pelanggannya terdiri daripada warga Singapura yang membuat tempahan secara dalam talian atau mengambil sendiri di Johor. 

Beliau menawarkan sekitar 25 perisa dengan bentuk kuih yang menarik dan berwarna warni, menggabungkan cita rasa tradisional dan moden, sekali gus menjadikannya kunci keunikan untuk bersaing dengan jenama lain dan menggamit pelanggan.

Cik Ainul Husna Saifudin tidak menyesal memilih kerjaya sebagai pengusaha kuih bulan yang kini semakin berjaya mengembangkan pasaran ke Singapura.
Cik Ainul Husna Saifudin tidak menyesal memilih kerjaya sebagai pengusaha kuih bulan yang kini semakin berjaya mengembangkan pasaran ke Singapura. - Foto ihsan AINUL HUSNA SAIFUDIN

KUIH BULAN DIMINATI PELBAGAI BANGSA

Menurut Cik Ainul yang menjual produknya pada harga RM29 ($9.33) sekotak, pelanggan berbangsa Cina lebih menggemari perisa klasik seperti kacang merah dan telur masin, manakala trend terkini seperti mochi turut mendapat sambutan. 

“Dalam kalangan pelanggan Melayu dan Muslim pula, perisa seperti pandan, telur masin dan kacang hijau, antara yang paling laris,” katanya yang menggunakan jenama, Sugar Pastry, bagi produk keluarannya.   

Menurut Cik Ainul, selain pelanggan Melayu, kuih bulan keluarannya juga banyak ditempah pelanggan berbangsa Cina dan kaum lain untuk dijadikan cenderahati, menjadikan kuih bulan halal sebagai simbol perkongsian budaya.

Walaupun perniagaan kuih bulan berjalan sepanjang tahun, permintaan dan tempahan biasanya meningkat mendadak sehingga 3,000 set sehari pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan Festival Kuih Bulan. 

“Mulanya saya terkejut juga apabila pelanggan berbangsa lain terutama Cina turut menempah. Ia menunjukkan memang ada pasaran besar untuk kuih bulan halal,” katanya.

Bagi pelanggan setia kuih bulan Cik Ainul, nilai yang ditawarkan bukan sekadar pada harga, bahkan pada pengalaman dan mutu yang sukar ditemui di tempat lain.

Pelanggan kuih bulan Sugar Pastry, Cik Yaty Mohd Salleh, 50 tahun.
Pelanggan kuih bulan Sugar Pastry, Cik Yaty Mohd Salleh, 50 tahun. - Foto ihsan YATY MOHD SALLEH

Pengurus Kawasan Undi (Constituency Manager), Cik Yaty Mohd Salleh, 50 tahun, dari Jurong menyifatkan kuih bulan keluaran Sugar Pastry menjadi pilihan kerana ia berbeza daripada yang biasa ditemui di pasaran, dengan bentuk berwarna-warni, selain jaminan halal membuatkannya yakin untuk membeli. 

“Kuih bulan Sugar Pastry menepati cita rasa saya. Ia juga tidak terlalu manis dan sangat sesuai dengan selera,” katanya kepada BH.

Walaupun perlu menanggung kos penghantaran dari Johor, Cik Yaty menganggap harganya masih berpatutan berbanding produk serupa di Singapura. 

“Setiap kali pembelian, saya lazimnya membelanjakan ratusan ringgit dan jumlah itu meningkat pada musim perayaan kerana mahu diberikan sebagai cenderahati buat rakan sepejabat,” katanya yang mengetahui mengenai kuih bulan halal itu menerusi TikTok.

Seorang lagi pelanggan, Encik Irfan Yusri, 30 tahun, dari Bukit Merah berkata, kepelbagaian kuih bulan Cik Ainul memudahkan beliau memilih mengikut cita rasa, manakala bentuk dan rekaannya yang kreatif memberikan pengalaman membeli yang unik.

“Saya selalu beli berkotak-kotak terutama ketika Aidilftiri kerana ada keluaran istimewa. Selain cantik, kuih ini tahan lama dan rasanya juga premium.

“Kadangkala saya kumpul tempahan daripada keluarga dan rakan kerana lebih banyak tempahan dapat menjimatkan kos penghantaran,” katanya.

KUIH BAKUL KEKAL TRADISI

Selain kuih bulan, kuih bakul juga mendapat permintaan tinggi pada Tahun Baru Cina.

Kuih bakul halal keluaran Cik Nur Farrah Diba Azhar juga boleh digoreng dan rasanya lebih sedap.
Kuih bakul halal keluaran Cik Nur Farrah Diba Azhar juga boleh digoreng dan rasanya lebih sedap. - Foto ihsan NUR FARRAH DIBA AZHAR

Kuih bakul halal keluaran Cik Nur Farrah Diba Azhar, 36 tahun, bukan saja menguasai pasaran tempatan yang terdiri daripada pelanggan Melayu, Cina dan India sejak 2017, malah, ia juga semakin berkembang di Singapura.

Menurut beliau, selain menggunakan khidmat ejen di Singapura, ahli keluarga di Johor yang bekerja di seberang Tambak juga memudahkan jaringan pelanggan berkembang secara organik, walaupun penghantaran terus melalui pos tidak dibenarkan bagi menjamin mutu kuih.

“Sekurang-kurangnya setiap minggu saya akan menghantar lebih 300 kuih bakul ke Singapura. Mungkin orang lain melihat jumlahnya kecil, tetapi bagi saya ia satu kejayaan kerana bukan mudah untuk tembusi pasaran di Singapura,” kata pemilik kedai, Bakul & Bulan itu kepada BH.

Bagi Cik Nur Farrah, sepanjang sedekad menceburkan diri dalam perniagaan kuih bakul, beliau tekal dengan prinsip mahu menghasilkan kuih tradisi yang boleh dinikmati semua kaum dalam versi halal tanpa mengorbankan rasa dan teknik asal.

“Kita masih buat guna tangan. Minyak kacang tanah pun kita hasilkan sendiri supaya ada aroma dan kilauan yang cantik.

“Saya mahu orang makan kuih bakul yang halal, tetapi masih rasa keaslian tradisi sebenar,” katanya.

Menurut Cik Nur Farrah, setiap minggu beliau menggunakan lebih 400 kilogram daun pisang sebagai pembalut tradisional kuih bakul keluarannya, selain menghasilkan lebih 1,000 biji sehari pada musim perayaan dengan harga serendah RM10 untuk sebiji kuih bakul.

Menariknya, kuih bakul keluaran Cik Nur Farrah mampu bertahan sehingga setahun jika disimpan dengan betul.

Pelanggan hanya perlu menyimpannya di dalam peti sejuk dan membasuh permukaannya sebelum dimakan.

Selepas hampir 10 tahun beroperasi, Cik Nur Farrah kini mempunyai sebuah kilang di Pulau Pinang dan pusat pengumpulan produk di Port Dickson, Negeri Sembilan, bagi memudahkan pemasaran kuih bakul ke selatan Malaysia dan Singapura.

ADA PERISA TAPI KEKAL ASLI

Pada 2026, wanita berketurunan Cina itu turut melancarkan dua variasi baru kuih bakul iaitu perisa coklat dan kekacang, namun tetap mengekalkan versi tradisional sebagai produk utama.

Berbeza dengan kebanyakan pengusaha yang menggunakan tepung pulut, Cik Nur Farrah yang mempelajari resipi kuih bakul daripada neneknya yang berbangsa Cina, masih mengekalkan penggunaan beras asli bagi menghasilkan tekstur tradisional kuih bakul.

Namun katanya, resipi itu melalui proses penyelidikan dan pengembangan (R&D) supaya sesuai untuk pasaran moden.

Pekerja di kilang kuih bakul Cik Nur Farrah Diba Azhar, cekap menyiapkan tempahan yang melonjak sempena Tahun Baru Cina.
Pekerja di kilang kuih bakul Cik Nur Farrah Diba Azhar, cekap menyiapkan tempahan yang melonjak sempena Tahun Baru Cina. - Foto NUR FARRAH DIBA AZHAR

“Kuih bakul Cina asli memang sangat lembut, sebab itu ia tak sesuai untuk dipos bagi jarak jauh seperti Sabah, Sarawak dan Singapura.

“Jadi kami ubah suai sedikit supaya lebih tahan tetapi masih kekalkan rasa tradisi. Kuih bakul jualan saya juga boleh digoreng dan rasanya lebih enak,” jelasnya.

Beliau yang pernah bekerja sebagai penjawat awam pada 2011 sebelum berhenti pada 2017 untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang baru bermula, berkata proses pembuatan kuih bakul juga bukan mudah.

“Kuih bakul perlu dikukus selama 24 jam tanpa henti, dan ada masanya mencecah 36 jam jika adunan tidak menjadi seperti yang diharapkan. Itu antara cabaran terbesar. Kalau kuih ‘merajuk’, memang kena tambah masa kukus,” katanya sambil ketawa.

Bagi Cik Almyda Ahmad, 49 tahun, dari Wellington Circle, di Sembawang, hubungan dengan pengusaha kuih bakul Cik Nur Farrah bermula sebagai pelanggan hampir lima tahun lalu, sebelum beliau menjadi ejen selepas memperkenalkan produk itu kepada rakan terdekat.

Menurutnya, sambutan di Singapura terus menggalakkan apabila lebih ramai kenalan mencuba dan memuji rasanya.

“Apabila ramai sudah cuba dan kata sedap, permintaan pun makin meningkat,” katanya.

Beliau menambah, selain bermutu tinggi, faktor kuih bulan itu dihasilkan oleh pengusaha Muslim turut menjadi nilai tambah yang memudahkan beliau mempromosikan produk tersebut kepada pelanggan di Singapura.

Bagi Cik Almyda, setiap minggu beliau membawa masuk bekalan kuih bakul ke Singapura, dengan permintaan meningkat ketara menjelang Tahun Baru Cina.

“Selain teksturnya yang lembut, antara keistimewaan kuih bakul Cik Nur Farrah ini ialah kepelbagaian cara menikmati kuih tersebut.

“Ia boleh dimakan begitu saja atau digoreng, dan walaupun digoreng, ia tetap lembut,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg