Antara ‘hotdog hipster’ dengan nasi rawon bungkus
Bazar Ramadan boleh jadi warisan, gabung rasa masa lalu dengan cita rasa moden
Kedua-dua anak saya tidak sabar menanti bazar Ramadan dibuka di serata Singapura dalam masa beberapa hari lagi.
Mereka idamkan minuman Paddle Pop, air balang warna-warni dan hotdog hipster yang memang menjadi tumpuan setiap kali bulan puasa menjelma.
Seberapa termampu, saya layankan, walaupun harga hotdog idaman itu kadang-kala lebih tinggi daripada harga sebungkus nasi rawon dengan sotong sambal yang menjadi kegemaran saya.
Ia adalah sebuah paradoks moden yang saya terima dengan senyuman.
Sebungkus nasi rawon yang berasal dari kulinari Jawa Timur dan menjadi kegemaran masyarakat Melayu/Islam di sini seringkali terpaksa bersaing dengan makanan trend yang harganya melambung tinggi.
Setahun sekali, kata isteri saya. Saya setuju. (Setelah hampir 15 tahun mendirikan rumah tangga, saya kian menjiwai seni pertahanan diri iaitu ‘isteri sentiasa betul’)
Sebaliknya, sesuatu perkara yang berlaku setiap kali bazar diadakan sempena Ramadan ialah perbahasan sama ada budaya bazar telah berubah dan kian kurang terpaut pada tradisi.
Ada yang menganggap perubahan sebagai inovasi dan ada pula yang mengeluhkannya sebagai pelunturan identiti.
Mereka bimbang bahawa kegilaan makanan fusion dan trend yang singkat akan menggantikan intipati sebenar bazar Ramadan.
Namun, jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, kemasukan elemen baru ini sebenarnya adalah petunjuk kepada dinamisme dan keterbukaan budaya masyarakat Melayu Singapura.
Ia menunjukkan kemampuan budaya kita untuk menyerap, menyesuaikan diri dan kekal menarik di mata generasi baru.
Pada masa yang sama, saya akur perbahasan ini mungkin tiada kesudahannya.
Sama ada budaya perlu jumud atau berubah – dan jika berubah, berapa pesatnya perubahan itu terlaksana, telah diperbahaskan dari dulu lagi.
Pemenang Anugerah Nobel (Keamanan), Amartya Sen, pernah berkata: “Budaya tidak kekal, tetapi boleh beralih dan berubah mengikut peredaran masa.”
Beliau menyifatkan usaha sukar memberi definisi bagi budaya seperti perbuatan sesia menambat bot yang sedang bergerak laju.
Begitu juga dengan budaya bazar Ramadan; ia tidak boleh dibekukan dalam masa.
Usaha untuk mencuba menahannya daripada berubah adalah sia-sia, kerana ia adalah satu entiti yang hidup dan bernafas mengikut masyarakatnya.
Di Singapura, antara memori pertama kegiatan bazar mungkin adalah di Kampong Gelam pada tahun-tahun 1960-an.
Dalam arkib akhbar ini terdapat berpuluh-puluh gambar yang menunjukkan suasana orang membeli-belah juadah berbuka di Bussorah Street, berlatar Masjid Sultan yang berdiri megah.
Gambar-gambar lama ini adalah saksi bisu kepada sejarah panjang bazar.
Dalam salah satu gambar itu, saya boleh melihat beraneka jenis kuih-muih dijual di piring yang dipamerkan di meja.
Sesetengah piring beralas daun pisang ada pula yang disajikan dalam talam sahaja.
Kontrasnya dengan bazar hari ini – di mana bazar ditaburi dengan gerai-gerai yang mematuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan dan dihiasi lampu LED berkelip-kelip sungguh ketara.
Namun, dalam kedua-dua era, orang ramai dari pelbagai latar belakang boleh dilihat berinteraksi dalam suasana yang mesra sekali.
Mungkin, melebihi beraneka juadah yang ditawarkan, bazar Ramadan penting kerana ia adalah pusat pertemuan sosial bagi masyarakat berbilang kaum di sini.
Nilai ini kekal, walaupun elemen fizikal bazar telah berubah.
Setelah seharian berpuasa, berkunjung ke bazar menjadi ritual yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Melayu/Islam.
Ia menyediakan ruang untuk keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga bersua muka, bertukar cerita dan merasai semangat kebersamaan.
Dalam era digital ini, tempat-tempat fizikal sebegini amat penting untuk mengukuhkan tali silaturahim.
Sejak kebelakangan ini, kita dapat melihat beraneka video yang dihasilkan orang bukan dari masyarakat Melayu/Islam yang turut serta menikmati suasana riuh-rendah, aroma pelbagai jenis makanan, dan sinaran lampu LED di bazar.
Keadaan ini sukar ditiru di tempat lain dan ia adalah manifestasi nyata dari perpaduan dan semangat muhibah yang menjadi tunjang masyarakat kita.
Bazar telah menjadi acara kemasyarakatan yang melangkaui batas agama dan etnik, menyatukan semua di bawah satu bumbung kebudayaan yang dikongsi.
Bazar juga boleh dianggap sebagai medan pelestarian warisan kulinari.
Di sinilah kita dapat menemui juadah tradisional yang jarang-jarang muncul pada bulan lain – beraneka kuih talam, nasi berlauk dan minuman ‘tradisi’ seperti air katira yang sinonim dengan Ramadan di Singapura.
Ibu bapa saya mungkin tidak akan menyertakan roti john dan burger Ramly dalam senarai ini, tetapi bagi saya, mengapa tidak?
Dari sudut pandangan makanan yang disajikan, bazar boleh berfungsi sebagai muzium makanan hidup, mengingatkan generasi muda akan rasa asli yang membentuk memori kolektif kita.
Walaupun populariti makanan segera meningkat, juadah lama ini tetap menjadi sauh budaya.
Namun, pada masa yang sama, nilai tradisi ini tidak bermakna ia harus statik.
Kita perlu menerima hakikat bahawa budaya dan tradisi adalah entiti yang hidup dan sentiasa berevolusi.
Ia adalah proses semula jadi dan perlu untuk kelangsungan budaya itu sendiri.
Bagi saya, penerimaan terhadap evolusi inilah yang menjadikan bazar Ramadan terus relevan dan menarik.
Kemunculan juadah ‘fusion’ dan ‘hipster’ bukanlah satu ancaman, bahkan satu peluang untuk membina jambatan antara generasi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan kemunculan juadah ‘fusion’ dan ‘hipster’ seperti air minuman berwarna-warni dalam beg plastik.
Saya pernah membeli dan menikmati makanan dari Mexico, China dan Korea di bazar-bazar yang lalu.
Mungkin, satu cara yang ‘mudah’ untuk menarik anak-anak muda kepada tradisi kita adalah menerusi makanan.
Dengan menawarkan juadah baru yang menarik, kita berjaya menarik mereka ke bazar dan dari situ, kita boleh memperkenalkan mereka kepada makanan tradisional.
Semasa kecil, mungkin mereka lebih terpaut pada makanan yang mungkin lebih menarik seperti hotdog Barat, hotteok Korea dan roti goreng berisi daging dari China.
Ini adalah realiti dunia global.
Namun pada masa yang sama, tiada sesiapa yang melarang kita daripada memperkenalkan mereka dengan makanan lebih tradisional yang dijual di bazar. Atau pada hari-hari lain.
Dengan keseimbangan yang betul, bazar Ramadan boleh terus menjadi warisan yang dihargai, merangkumi rasa masa lalu dan cita rasa masa depan.

