Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usahawan reka peti ‘drop box’ jamin keselamatan bungkusan barangan tempah

Pengalaman cemas tempahan iPad terbiar di luar rumah ketika bekerja cetus idea niaga
Dec 19, 2025 | 6:52 PM
Ahmad Amirudin Abdullah, KILOV
Encik Ahmad Amirudin Abdullah, 36 tahun, mengusahakan perniagaan ‘drop box’ parcel, KILOV, sejak 2022. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Soalan yang sering diajukan kepada usahawan, Encik Ahmad Amirudin Abdullah, adalah: “Ahmad jual kotak sekarang?” 

Pada awalnya, ramai yang ragu-ragu kerana idea meniaga peti ‘drop box’ untuk menyimpan bungkusan tempahan yang tercetus di fikiran Encik Ahmad, 36 tahun, kelihatan terlalu mudah, memiliki idea tersendiri dan belum lagi diuji.

Malah, Encik Ahmad, pengusaha syarikat KILOV ini sendiri, menyedari dirinya sedang melangkah masuk ke pasaran yang beliau tidak mahir pada 2022. 

Tanpa memiliki diploma atau kelulusan dalam bidang reka bentuk, teknologi atau kejuruteraan, Encik Ahmad hanya bersandarkan pengalaman melakukan kerja berkaitan dengan logam serta tekad mencari huraian bagi masalah yang pernah dihadapinya semasa menempah iPad sewaktu tempoh pandemik Covid-19.

Ketika itu, pembelian dalam talian begitu melonjak. Encik Ahmad pula resah apabila mendapat tahu iPad yang baru ditempah dikirimkan dan terbiar di luar rumah ketika beliau keluar bertugas di pejabat.

Tanda tanya mengapa tiada ruang atau peti selamat yang mampu dimiliki untuk meletakkan bungkusan barangan tempahan di koridor HDB , membuatnya meraih ilham menghasilkan perniagaan peti ‘drop box’ itu.

Sehingga kini, beliau telah menjual lebih 3,000 unit peti tersebut, dengan perniagaannya turut ditebarkan buat keperluan pelanggan di Australia, Malaysia dan New Zealand.

Rumah-rumah yang dahulunya tidak mempunyai tempat selamat untuk menyimpan bungkusan tempahan barangan dalam talian kini memanfaatkan peti ‘drop box’ ciptaannya, lengkap dengan kunci digital, komponen modular dan pilihan warna yang menarik.

Malah, pelanggan komersial mula menempah sistem lokar berskala besar hasil rekaan Encik Ahmad.

“Semuanya bermula dengan iPad itu. Seharian saya risau sebab bungkusan yang mengandungi alat digital itu ditinggalkan di depan pintu rumah.

“Kalau saya rasa cemas, saya yakin ramai lagi pun turut resah kalau barangan mahal terbiar di luar rumah.

“Saya terfikir, mengapa ruang selamat untuk letak bungkusan tempahan dalam talian tak wujud di Singapura?

“Bila saya cari dalam talian, saya dapati di luar negara seperti Amerika dan Eropah, semua dah ada khidmat peti ‘drop box’. Cuma di Singapura sahaja belum ada,” kongsi Encik Ahmad kepada Berita Harian (BH).

Justeru, beliau bertekad menjadi usahawan pertama yang menghasilkan peti ‘drop box’ di Singapura.

Anak ketiga dalam empat beradik itu menganggap perjalanan hidupnya dalam keluarga sederhana telah menyediakan landasan untuk perniagaannya itu.

“Kehidupan kami tak mewah. Ibu bapa saya membantu di gerai nasi padang nenek di Pusat Makanan Newton selama lebih tiga dekad.

“Saya dan adik-beradik saya pula kerap membantu menyediakan kuih dan epok-epok.

“Semasa kecil, saya akan membina rumah-rumah kecil menggunakan batang aiskrim kerana permainan sebenar tidak mampu dimiliki. Terlalu mahal buat kami.

“Saya memang suka menghasilkan dan mencipta sesuatu dengan tangan sejak kecil,” katanya.

Semasa keluarganya dilanda masalah kewangan, Encik Ahmad bekerja sambil belajar, bermula sebagai pencuci tandas bagi membayar yuran peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’.

Selepas tamat sekolah, beliau bekerja pula sebagai tukang basuh pinggan selama enam hingga lapan bulan.

Kemudian, gajinya digunakan untuk membeli kamera vintaj, sebelum menjadikan minat itu satu bisnes kecil menjual kamera filem import dari laman dagangan, eBay.

Selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS), beliau mencuba bidang kejuruteraan audio selama setahun dan membuka studio rakaman sendiri, namun studio itu tidak bertahan lama.

Beliau kemudian beralih ke sektor pembinaan dan kerja-kerja ‘soundproofing’ atau kalis bunyi, berganding dengan kontraktor dari China dan pelbagai pembekal bahan binaan.

Di situlah, Encik Ahmad benar-benar mengenali dunia logam, daripada pemasangan perancah atau ‘scaffolding’, pintu yang dapat menghalang api kebakaran daripada menyelinap masuk antara bilik, engsel, struktur dinding hinggalah ketahanan bahan.

Pengalaman bertahun-tahun lamanya mengendalikan logam memudahkannya memahami kegunaan engsel, berat dan ketahanan.

Semuanya dipelajari menerusi video YouTube dan kursus rekaan tiga dimensi (3D), yang membolehkannya menterjemah idea menjadi hasil produk sebenar.

Hampir setahun beliau bereksperimen dengan pelbagai kotak logam termasuk melakar semula, menguji saiz, kestabilan dan keselamatan, sebelum prototaip pertama ‘drop box‘ itu berjaya disempurnakan.

Justeru, lahirlah jenama ‘KILOV’, gabungan dua perkataan — kilo dan vault — dengan matlamat ketika itu untuk menjual sekilo atau 1,000 ‘vault’ (drop box) pertama.

Encik Ahmad melancarkan perniagaannya melalui media sosial, di mana beliau memuatnaikkan video ringkas yang dirakam menggunakan telefon pintar iPhone sahaja, menunjukkan betapa mudahnya bungkusan barangan dicuri, tular di TikTok dan meraih lebih 2.4 juta tontonan.

Sejak itu, tempahan bagi peti ‘drop box’ tidak putus-putus.

Hari ini, ‘drop box’ KILOV hadir dalam pelbagai warna daripada kelabu minimalis dan “baby pink” (merah jambu) sempena fenomena jenama boneka, Barbie, hinggalah merah terang ‘London Red’ untuk pemilik rumah yang mahukan kelainan.

Harga bermula sekitar $290 untuk unit kediaman, manakala sistem lokar komersial boleh mencecah sehingga $5,000.

Peti ‘drop box’ ciptaan Encik Ahmad Amirudin Abdullah direka khas dengan kunci digital, komponen modular dan pelbagai pilihan warna, bagi memastikan bungkusan pembelian dalam talian disimpan dengan selamat.
Peti ‘drop box’ ciptaan Encik Ahmad Amirudin Abdullah direka khas dengan kunci digital, komponen modular dan pelbagai pilihan warna, bagi memastikan bungkusan pembelian dalam talian disimpan dengan selamat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sekitar 80 peratus pelanggannya terdiri daripada penghuni flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), manakala selebihnya pula pemilik banglo, kafe, gimnasium dan perniagaan kecil.

“Rekaan peti ‘drop box’ ini sebenarnya sederhana sahaja. Tapi kalau kita tambah lengkung sedikit, pilih warna yang betul… terus nampak cantik,” katanya sambil tersenyum.

Setelah jenama KILOV semakin kukuh di pasaran tempatan, Encik Ahmad kini meninjau peluang di luar negara. 

Beliau sedang berbincang dengan pengedar di Sarawak, Kuala Lumpur, Australia dan New Zealand, selain menerima tempahan OEM untuk mereka bentuk produk logam bagi syarikat lain.

Namun di sebalik semua itu, impiannya kekal sederhana.

“Buat semua orang gembira terutama mak dan ayah,” katanya.

“Apa sahaja yang mereka nak, saya nak mampu bayarkan.”

Sebagai seseorang yang tidak mempunyai kelulusan akademik tinggi, Encik Ahmad berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi untuk belia yang merasa peluang untuk maju terbatas dek keputusan hidup yang pernah dibuat atau latar belakang mereka.

“Pesan saya, buat sahaja. Percaya pada diri sendiri. Jangan terpengaruh dengan kata orang. Hanya kita yang benar-benar nampak visi yang terbentang di depan kita,” pesannya.

“Semuanya bermula dengan iPad itu. Seharian saya risau sebab bungkusan yang mengandungi alat digital itu ditinggalkan di depan pintu rumah. Kalau saya rasa cemas, saya yakin ramai lagi pun turut resah kalau barangan mahal terbiar di luar rumah.”
 Encik Ahmad Amirudin Abdullah, pengasas syarikat khidmat peti ‘drop box’ KILOV.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg