Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelantikan Undang Luak Rembau ke-22 di N. Sembilan tiada campur tangan istana
Pelantikan Undang Luak Rembau ke-22 di N. Sembilan tiada campur tangan istana
Pelantikan Undang Luak Rembau ke-22 di N. Sembilan tiada campur tangan istana
REMBAU (Negeri Sembilan): Pelantikan Undang Luak Rembau ke-22, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid dalam institusi Adat di Negeri Sembilan, diurus secara bebas tanpa sebarang campur tangan Istana Seri Menanti.
Demikian penjelasan Pengerusi Kerapatan Buapak Lapan Kampung Waris Buanda Dua Carak, Datuk Juan Datuk Zulkipli Shamsudin.
Mengikut Adat Perpatih, jelasnya, pemilihan Undang Rembau adalah hak milik eksklusif Luak Rembau sendiri melalui proses yang ditetapkan tanpa sebarang campur tangan istana dalam pemilihan pembesar itu.
Undang ialah pembesar Adat dan ketua wilayah di Negeri Sembilan, manakala Luak merujuk pada wilayah atau daerah.
Pelantikan itu menarik perhatian ketika polemik krisis diraja, institusi Adat dan Perlembagaan di Negeri Sembilan yang berpanjangan sejak April lalu belum berkesudahan.
Kata Datuk Zulkipli, kekosongan jawatan berlaku selepas Undang Rembau ke-21, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pada 15 Mei 2024 akibat sakit tua ketika berusia 82 tahun.
“Mengikut proses Adat Perpatih yang diamalkan, hak memilih undang baharu terletak pada anak Waris Biduanda, Buapak dan Ibu Soko Waris Biduanda Nan Dua Carak menerusi kerapatan.
“Selepas kerapatan diadakan, Buapak dan Ibu Soko Waris Biduanda Nan Dua Carak sebulat suara memilih Hassan Ab Hamid, seorang guru bersara berusia 67 tahun yang disegani sebagai Undang Rembau ke-22.
“Kami kemudian menghadap ke istana untuk memohon perkenan menetapkan tarikh Istiadat Kejadian sebelum diperkenankan Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau di Istana Besar Seri Menanti pada 27 Mei,” katanya dalam satu kenyataan pada 28 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Zulkipli berkata sistem Adat Perpatih meletakkan kuasa adat bermula daripada akar masyarakat, manakala Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertindak sebagai pemegang amanah kepada kelangsungan adat dan institusi negeri.
Justeru, tegas beliau, pengisytiharan oleh seorang individu, Encik Abdul Rahim Yasin yang menggelarkan dirinya sebagai Undang Luak Rembau ke-22 adalah tidak sah kerana didakwa tidak mematuhi beberapa proses dan tatacara adat.
Datuk Zulkipli berkata individu itu juga tidak memenuhi syarat menyempurnakan pelantikan menerusi Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Justeru, lantikan Encik Abdul Rahim tidak diiktiraf di bawah adat,” tambahnya.
Katanya, dengan sempurnanya istiadat Kejadian Undang Luak Rembau di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan, pada 27 Jun, Datuk Hassan akan mempertahan dan memelihara kepatuhan Adat Perpatih serta memastikan keharmonian antara institusi Undang, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan rakyat terus terpelihara.
“Kami berharap Kejadian Undang Luak Rembau pada 27 Jun membuka lembaran baharu dalam memartabatkan Adat Perpatih, sekali gus menamatkan segala spekulasi yang tidak sewajarnya,” katanya.
Tuanku Muhriz telah menerima menghadap bagi menzahirkan Kejadian Undang Luak Rembau Ke-22 di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah yang menyaksikan Datuk Hassan dizahirkan sebagai Undang selepas dipilih secara adat di luak berkenaan.
Dalam ucapan yang disampaikan, Tuanku Muhriz melahirkan rasa sukacita menerima penzahiran kejadian Datuk Hassan sebagai Orang Kaya Beta, Undang Luak Rembau Ke-22 dengan gelaran Dato’ Sedia Raja.
“Pelantikan ini satu amanah besar yang lahir daripada pemuafakatan adat. Ia hendaklah dipikul dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi memelihara keluhuran adat serta kesejahteraan rakyat di Luak Rembau.
“Sebarang perselisihan atau permasalahan hendaklah ditangani dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan semangat Muafakat,” kata Tuanku Muhriz.
