KUALA LUMPUR: Raja-raja Melayu telah membuat keputusan saat akhir untuk menangguhkan Persidangan Majlis Raja-Raja, yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 25 Jun, di tengah-tengah pertikaian berhubung takhta Negeri Sembilan, yang kini menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya negeri yang dijadualkan pada 1 Ogos dapat diteruskan.

Walaupun jurucakap Istana Negara mengesahkan kepada The Straits Times (ST) pada awal 23 Jun, persidangan itu dibatalkan, tiada alasan rasmi diberikan.

Bagaimanapun, beberapa sumber termasuk seorang menteri besar yang dijadual menghadiri persidangan selepas mesyuarat pra-Majlis Raja-Raja memaklumkan kepada akhbar itu, terdapat kebimbangan sama ada wajar untuk persidangan diteruskan memandangkan wujud dua pihak yang menuntut takhta Negeri Sembilan.

Persidangan Majlis Raja-Raja jarang sekali ditangguhkan. Kali terakhir ia dibatalkan adalah ketika pelaksanaan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19 pada 2021, sekali gus mencerminkan keseriusan krisis di Negeri Sembilan, yang turut memberi kesan kepada landskap politik negeri sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Situasi itu kini menimbulkan ketidaktentuan mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Jun lalu (2026).

Pembubaran itu berlaku selepas empat Undang yang menjadi ketua wilayah adat didakwa memecat beliau sebagai Yang di-Pertuan Besar pada April.

Pembubaran dewan itu turut menyusul selepas Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada 27 April.

Parti itu mendakwa beliau campur tangan dalam urusan diraja apabila mengisytiharkan Tuanku Muhriz masih merupakan pemerintah sah negeri berkenaan.

Pilihan raya negeri itu dianggap penting kepada Pakatan Harapan kerana ia berlangsung selepas pilihan raya Johor, yang dijangka dimenangi dengan selesa oleh gabungan pimpinan Barisan Nasional.

Kemenangan di Negeri Sembilan dilihat mampu mengembalikan keyakinan kepada Pakatan Harapan selepas prestasi hambar dalam pilihan raya negeri Sabah apabila hanya memenangi satu kerusi pada November lalu.

Penangguhan Persidangan Majlis Raja-Raja berlaku walaupun kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan masih mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sekiranya persidangan diteruskan dengan kehadiran beliau, yang turut dijadual mempengerusikan mesyuarat secara bergilir, ia dilihat akan mengesahkan kedudukan sedia ada.

Sebaliknya, penangguhan itu dilihat memberi kelebihan kepada pihak Undang yang telah melantik Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, anak kepada Yang di-Pertuan Besar terdahulu dan anak saudara Tuanku Muhriz, sebagai pemerintah baharu pada 5 Jun lalu.

Keputusan Raja-Raja Melayu itu kini mengembalikan krisis istana Negeri Sembilan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu ke mahkamah, yang dijadual mendengar hujahan kedua-dua pihak pada Julai.

Di bawah Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan, Undang mempunyai kuasa memilih pemerintah negeri dan boleh menyingkirkannya sekiranya siasatan mendapati terdapat alasan kukuh untuk berbuat demikian.

Persidangan Majlis Raja-Raja, yang lazimnya diadakan tiga kali setahun mempunyai kuasa memveto beberapa bentuk perundangan termasuk pindaan Perlembagaan serta berhak membincangkan dasar kerajaan, khususnya yang melibatkan hal ehwal Islam dan Melayu.

Persidangan seterusnya dijadual berlangsung pada Oktober di Melaka, lokasi yang secara kebetulan menjadi tempat Tunku Nadzaruddin mengangkat sumpah sebagai pemerintah baharu.