Trauma dan kesedihan tidak terungkap, dengan kemusnahan dan kerosakan harta benda yang dialami mangsa kejadian letupan paip gas dan kebakaran dahsyat di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, mendapat perhatian banyak pihak.
Mereka turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan bagi meringankan beban mangsa kejadian pada 1 April yang jatuh pada Hari Raya kedua.
Kejadian tidak diduga pada 8 pagi itu menyebabkan penduduk hanya mampu menyelamatkan diri daripada bahang api kebakaran hingga mencecah 1,000 darjah Celsius, tanpa sempat memikirkan harta benda yang cair dan lebur dalam tragedi itu.
Bagi mangsa yang tempat tinggalnya musnah dalam kebakaran itu, kerajaan Selangor menawarkan lebih 100 rumah sementara.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, tawaran itu dibuat menerusi skim, ‘Smart Sewa Selangor’, dengan sebahagian kadar sewa kediaman sementara yang sedang dikenal pasti itu akan ditanggung kerajaan.
“Mangsa dijangka memasuki kediaman sementara itu mulai minggu depan,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kereta sementara jenama Chery kepada mangsa kejadian itu pada 4 April.
Beliau berkata Kota Warisan, di Sepang, Selangor, antara tempat yang bakal menempatkan mangsa, selain beberapa kawasan lain yang sedang dikenal pasti, termasuk berhampiran tapak kejadian.
Datuk Amirudin, yang juga Ahli Parlimen (AP) Gombak (Selangor), berkata lebih ramai mangsa yang rumah mereka tidak terjejas teruk dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara peringkat mulai 4 April.
“Mereka dibenarkan pulang selepas pihak berkuasa teknikal mengesahkan kediaman mereka selamat diduduki semula dan pihak berkuasa membuat sambungan semula perkhidmatan utiliti di kawasan ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut mengambil inisiatif menyalurkan bantuan RM500 ($150) kepada setiap ketua keluarga beragama Islam yang terjejas dalam kejadian letupan paip gas tu.
Menteri Digital, Encik Gobind Singh Deo, pula berkata kementeriannya sedang dalam proses penilaian dan meneliti langkah sesuai bagi menyalurkan bantuan peranti kepada mangsa.
“Ia bagi meringankan beban penduduk terjejas dengan menggantikan peranti digital termasuk komputer riba dan telefon yang rosak akibat kebakaran itu,” katanya.
Kementerian Pendidikan turut memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap murid terjejas, manakala kerajaan Selangor melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) akan menyalurkan bantuan pakaian dan kelengkapan sekolah.
Simpati pelbagai pihak terhadap nasib mangsa turut mengundang keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh media sosial yang menghulur pelbagai bantuan.
Namun, ia memaksa pihak berkuasa tempatan meningkatkan tahap kawalan keselamatan di pusat pemindahan sementara (PPS) dekat Masjid Putra Heights, selepas mangsa dikatakan diganggu pihak luar, termasuk pempengaruh.
“Ketetapan itu terpaksa dibuat atas faktor kesihatan dan bagi menjaga privasi mangsa selepas kita menerima aduan mangsa tidak selesa dengan kehadiran pelbagai pihak di PPS sejak premis itu mula beroperasi,” kata Datuk Amirudin.
Sementara itu Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) setakat ini berjaya menyelamatkan antara 20 dengan 30 haiwan peliharaan dan haiwan liar seperti kucing, anjing, ikan, ular dan hamster yang terjejas akibat kebakaran itu.
“Tidak dinafikan mungkin ada haiwan mati akibat terbakar atau disebabkan pencemaran air serta udara kesan letupan dan kebakaran ini,” katanya.
Dalam kejadian itu, Malaysia digemparkan dengan letupan dan kebakaran besar yang dipercayai akibat kebocoran saluran paip gas milik Petronas di Putra Heights, yang menukar landskap kawasan kediaman di situ dan sekitarnya menjadi bak medan perang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg