Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesara hilang rumah kediaman, 8 unit sewa dan harta RM1.5j

Apr 4, 2025 | 11:17 AM
Encik Zainudin Abdul Halim berkata beliau terdengar bunyi letupan dan rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru, Selangor disebabkan letupan paip gas di  Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.
Encik Zainudin Abdul Halim berkata beliau terdengar bunyi letupan dan rumahnya di Kampung Kuala Sungai Baru, Selangor disebabkan letupan paip gas di  Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. - Foto NSTP

SERDANG (Selangor): Dalam masa sekelip mata, kehidupan mangsa kebakaran besar di Putra Heights berubah dengan ketara.

“Sekarang, saya bukan lagi B40... saya seperti gelandangan yang tidak mempunyai apa-apa,” kata Encik Zainudin Abdul Halim, 60 tahun.

B40 merujuk kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus pendapatan terendah di Malaysia.

Encik Zainudin, seorang pesara kerajaan dari Kampung Kuala Sungai Baru, Selangor, antara mangsa kebakaran besar akibat letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April.

Tragedi itu memusnahkan rumah beliau serta lapan rumah yang disewakannya sewa serta harta benda lain miliknya, yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta ($450,000).

Bukan itu sahaja, beliau juga kini terpaksa melupakan hasratnya menunaikan umrah pada 9 April.

Menceritakan detik cemas yang ditempuhi pada Hari Raya kedua itu, Encik Zainudin berkata kejadian berlaku ketika beliau baru pulang ke rumah selepas keluar bersarapan dengan rakannya.

“Pagi itu, saya membeli lima roti canai kosong dan dua roti telur untuk anak-anak. Sampai sahaja di rumah sekitar 8.10 pagi, saya letak makanan itu di dapur sebelum masuk ke dalam bilik.

“Ketika itu, isteri saya sedang lipat kain dan kami berborak mengenai perancangan balik ke kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan.

“Kira-kira lima minit kemudian, saya terdengar bunyi letupan dan rumah kami bergegar. Selepas itu, saya terdengar pula bunyi deruan kuat macam bunyi enjin jet.

“Apabila menjenguk ke luar pintu rumah, saya nampak benda jatuh dan langit menjadi merah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Zainudin berkata beliau segera menjerit menyuruh semua anggota keluarganya keluar melarikan diri ke tempat selamat.

“Anak saya minta selamatkan kereta dulu tetapi saya kata tak dapat. Kalau saya selamatkan kereta, rasanya saya akan mati.

“Ada seorang penyewa, yang bekerja sebagai petugas kesihatan, juga menyuruh semua orang lari selamatkan diri. Setelah berlari kira-kira 100 meter, kami berlindung di rumah terdekat dan membasahkan badan.

“Selepas itu, kami teruskan berlari kira-kira 100 meter lagi untuk selamatkan diri sebab tidak tahan dengan bahang api ketika itu,” katanya.

Tidak lama selepas tiba di kawasan selamat, Encik Zainudin berkata pihak berkuasa, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan ambulans, membawa beliau sekeluarga ke hospital.

“Saya sangat bersyukur. Kalau melihat kepada lokasi dan masa kejadian, saya percaya Tuhan sudah mengaturkan yang paling baik.

“Kalau lewat atau cepat sesaat, sudah pasti saya mati. Jarak rumah saya dengan lokasi letupan itu hanya kira-kira 30 hingga 40 meter. Saya fikir kalau ada yang mati dulu, sayalah orang pertama,” katanya.

Encik Zainudin bersama lapan anggota keluarganya – isteri, tiga anak, dua menantu, seorang cucu dan ibu mentua – kemudian menerima rawatan di hospital.

Menurut Encik Zainudin, tubuhnya mengalami kelecuran dan luka sebanyak 70 peratus.

“Anak saya baru selesai menjalani pembedahan, hari ini, sebab melecur teruk di bahagian tapak kaki kerana berlari tanpa selipar untuk menyelamatkan diri ketika kejadian,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg