Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelebaran lebuh raya Kulai-Sedenak sasar siap Jun 2027
Jajaran 14.5 km hanya Fasa 1; projek keseluruhan punya empat fasa untuk tambah lorong setiap arah
Pelebaran lebuh raya Kulai-Sedenak sasar siap Jun 2027
ISKANDAR PUTERI (Johor): Kerja pelebaran Lebuh Raya Utara-Selatan bagi jajaran Kulai-Sedenak mencapai 62.7 peratus setakat akhir Oktober 2026, dengan sasaran siap pada 27 Jun 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata jajaran sepanjang 14.5 kilometer bernilai RM250 juta ($77 juta) itu merupakan Pakej A bagi Fasa 1 projek berkenaan.
“Secara keseluruhannya, projek ini melibatkan empat fasa utama dengan jumlah jajaran sepanjang 59.9 kilometer, manakala Fasa 1 dibahagikan kepada dua pakej pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Dewan Negeri Johor, di sini, pada 24 November.
Projek itu bertujuan menambah bilangan lorong daripada dua kepada tiga bagi setiap arah, khususnya di jajaran yang mengalami kesesakan lalu lintas.
Bagi Pakej B Fasa 1, kerja di jajaran Senai Utara-Kulai sepanjang 7.3 kilometer mencapai 37.2 peratus setakat akhir Oktober 2026. Projek bernilai RM160 juta itu disasar siap pada 22 Disember 2027.
Fasa 2 pula melibatkan jajaran Sedenak-Simpang Renggam sepanjang 16.6 kilometer, dengan kos RM365.22 juta. Kemajuan kerja mencapai 35.5 peratus dan sasaran siap ditetapkan pada 27 Julai 2028.
Menurut Encik Mohamad Fazli, Fasa 3 bagi jajaran Simpang Renggam-Machap sepanjang 14 kilometer masih pada peringkat penilaian tawaran pembinaan.
“Projek bernilai RM467 juta itu dijangka memulakan pembinaan pada Disember 2026, tertakluk kepada penyelesaian urusan perolehan, dengan sasaran siap pada 30 Disember 2029.
“Fasa 4 melibatkan jajaran Machap-Ayer Hitam sepanjang 7.5 kilometer masih pada peringkat perancangan. Kosnya belum dimuktamadkan, manakala tarikh siap belum ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan kerja berdepan beberapa cabaran, termasuk kenaikan harga bahan binaan dan bahan api, ruang kerja terhad serta keperluan mengawal lalu lintas di lebuh raya yang terus digunakan.
“Kerja tanah dan penstabilan cerun turut memerlukan perhatian, manakala cuaca tidak menentu boleh menjejas kerja pembinaan, termasuk penurapan jalan.
“Di jajaran Sedenak-Simpang Renggam, penyelarasan kemudahan bekalan sedia ada di sepanjang kawasan pembinaan juga menjadi antara cabaran,” katanya.
Kerajaan Johor akan terus bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Plus Malaysia Berhad bagi menyelaras pelaksanaan projek serta menjaga keselamatan dan keselesaan pengguna.