JOHOR BAHRU: Kerja pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) Fasa 2B daripada empat kepada enam lorong sudah 98 peratus siap dan dijadualkan selesai sepenuhnya pada 24 November 2026.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek bernilai RM79.61 juta (($25.04 juta) itu melibatkan laluan sepanjang kira-kira lima kilometer dari persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting hingga ke Pasir Gudang.

“Baki kerja meliputi penurapan jalan, pemasangan lampu LED, papan tanda dan penghadang keselamatan serta kerja perparitan.

“Menurut taklimat Jabatan Kerja Raya (JKR), proses pengujian dan pentauliahan turut perlu diselesaikan,” katanta dalam satu kenyataan pada 13 November, selepas mengadakan tinjauan di tapak projek berkenaan.

Datuk Onn Hafiz berkata penduduk Pasir Gudang sudah lama menantikan pelebaran jalan itu, terutama mereka yang menggunakan laluan tersebut setiap hari untuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah.

“Kesesakan lalu lintas yang berlarutan bukan sahaja memanjangkan masa perjalanan, malah turut menjejaskan masa berharga bersama keluarga.

“Justeru, saya amat berharap agar penyiapan projek ini dapat memberikan kelegaan yang telah lama dinantikan oleh penduduk setempat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, yang menyertai tinjauan itu berkata dua perkara yang dibangkitkan pengguna ialah keadaan jalan yang kurang rata dan lampu yang semakin malap pada lewat malam.

“Lampu solar yang dilaporkan malap lewat malam telah digantikan dengan lampu jalan kekal, manakala JKR telah meratakan semula permukaan jalan di lokasi yang diadukan,” katanya.

Menurut Encik Mohamad Fazli, kerja yang masih perlu disiapkan termasuk mengecat garisan jalan, menguji lampu dan memeriksa kerataan permukaan.

Beliau akan terus memantau baki kerja bersama JKR, dengan memberi perhatian kepada hasil kedua-dua ujian demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

Beliau berkata kemajuan fizikal projek itu sudah mencapai 98 peratus ketika tinjauan pada 10 November.

Penambahan lorong di laluan berkenaan dijangka membantu melancarkan perjalanan harian penduduk dan pekerja yang berulang-alik ke Pasir Gudang, khususnya pada waktu puncak.