Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelepasan imigresen guna kod QR; ramai rakyat M’sia masih keliru

May 29, 2024 | 2:08 PM
Rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura mahu kerajaan benar-benar bersedia untuk melaksanakan pelepasan imigresen di pintu masuk menggunakan kod respons pantas (QR), menggantikan pasport, yang akan bermula 1 Jun.
Rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura mahu kerajaan benar-benar bersedia untuk melaksanakan pelepasan imigresen di pintu masuk menggunakan kod respons pantas (QR), menggantikan pasport, yang akan bermula 1 Jun. - Foto FACEBOOK FADILLAH YUSOF

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menggesa kerajaan menyediakan maklumat mencukupi sebelum memulakan pembuktian konsep (POC) pelaksanaan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod respons pantas (QR).

Juruaudit, Encik Desmond Ng, 43 tahun, berkata beliau terkejut mendengar pengumuman kerajaan kerana sebelum ini dilaporkan tempoh percubaan hanya akan bermula pada pertengahan Jun.

“Saya gembira mereka akhirnya memutuskan untuk menggunakan sistem QR yang secara peribadi saya rasa adalah peningkatan yang baik dan benar-benar boleh menjimatkan masa.

“Saya agak terkejut kerana kerajaan telah memutuskan untuk memulakan tempoh percubaan pada 1 Jun, hanya beberapa hari selepas pengumuman (sistem kod QR) itu.

“Tiada juga maklumat jelas tentang cara untuk melaksanakannya. Saya dapati beberapa maklumat yang bercanggah di media sosial. Saya harap kerajaan boleh keluarkan kenyataan rasmi,” katanya lapor The Star.

Encik Ng, yang berulang alik antara Johor dan Singapura setiap minggu melalui Tambak Johor, berharap tidak akan ada gangguan dalam sistem yang boleh menyebabkan sebarang kelewatan dan kesesakan.

Seorang pekerja perkhidmatan kolam renang, Encik Mohamad Shamyrul Arzemy, 32 tahun, berkata beliau lebih menyukai penggunaan sistem Mbike yang telah wujud sejak lapan tahun lalu.

“Bagi saya, sistem Mbike lebih mudah kerana kami hanya perlu mengimbas Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dan bukannya kod QR pada telefon kami. Bagaimanapun, saya terbuka untuk mencubanya,” katanya.

Seorang lagi pengguna Mbike, Encik K Prakash, 37 tahun, berkata beliau terkejut apabila mengetahui rancangan kerajaan Malaysia untuk menggantikan sistem Mbike dengan sistem QR.

“Saya harap kerajaan dapat memberi lebih banyak maklumat mengenai sistem baru itu sebelum tempoh percubaan supaya kami dapat memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata lebih banyak maklumat termasuk dalam bentuk video akan disediakan tidak lama lagi.

“Kami akan memastikan orang ramai terutama pengembara dari Malaysia diberi maklumat yang mencukupi mengenai sistem kod QR sebelum kami memulakan tempoh POC.

“Ia akan mengambil masa untuk jabatan berkaitan dan orang ramai membiasakan diri dengan sistem itu, sebab itu kita memerlukan tempoh POC supaya kita dapat menyelaraskan segala-galanya,” katanya.

Pada 27 Mei, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata bermula 1 Jun, rakyat Malaysia boleh menggunakan kod QR berbanding pasport untuk pelepasan imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor Bahru.

Beliau berkata bagi fasa pertama, penggunaan kod QR itu khusus bagi pengguna bas dan penunggang motosikal laluan MBike di BSI dan KSAB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg