Pelukis mural popular di Pulau Pinang saman AirAsia dakwa guna lukisan tanpa izin
Pelukis mural popular di Pulau Pinang saman AirAsia dakwa guna lukisan tanpa izin
KUALA LUMPUR: Artis mural terkenal Lithuania, Ernest Zacharevic, memfailkan saman terhadap AirAsia Berhad dan syarikat induknya, Capital A Berhad, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau mendakwa syarikat penerbangan itu tanpa kebenaran telah menggunakan karya seni ikoniknya, Kids on Bicycle, pada pesawat AirAsia pada 2024.
Ernest, yang juga pemilik hak cipta karya tersebut, menamakan kedua-dua syarikat itu sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 9 Februari.
Pelukis yang berpusat di Pulau Pinang ini mendapati pada Oktober 2024, karyanya telah dilukis semula pada pesawat AirAsia dan dipamerkan secara terbuka.
Dakwanya, defendan telah menyalin, mempamer, dan mengubah suai karya seni itu tanpa izin, lesen, atau pengetahuannya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau turut mendakwa penggunaan karya tersebut bukanlah kejadian terpencil, malah terdapat corak penggunaan tanpa kebenaran oleh defendan dan pihak berkaitan dalam pelbagai kempen promosi dan pengiklanan sejak 2016.
Karya itu adalah salah satu mural Ernest di Georgetown, Pulau Pinang, yang dilukis pada 2012 dan dicat semula pada 2024.
Lukisan tersebut terkenal dan menjadi antara sudut tarikan wajib bagi pelancong di Pulau Pinang untuk merakamkan gambar kenangan mereka.
Ernest memohon mahkamah mengeluarkan perintah atas dakwaan pelanggaran hak cipta dan hak moralnya, selain kesalahan peniruan dan campur tangan tidak sah dalam perniagaannya.
Antara remedi yang dimohon ialah pengisytiharan haknya sebagai artis, perintah larangan terhadap penggunaan karya tanpa kebenaran, serta arahan supaya bahan yang melanggar hak cipta itu dipadam dan dimusnahkan.
Ernest yang diwakili peguam, Encik Joachim Francis Xavier, juga menuntut pampasan kewangan yang setimpal.
Sebelum ini pada Januari 2025, portal berita Malaysiakini melaporkan, Ernest berkata beliau telah cuba menyelesaikan isu itu secara baik, tetapi syarikat penerbangan tambang murah itu hanya bertindak balas dengan mengeluarkan kenyataan, menafikan pelanggaran tersebut dan memanjangkan perbincangan.
“Sejak beberapa tahun lalu, mural saya telah muncul dalam kempen e-mel, iklan, majalah dalam penerbangan AirAsia dan banyak lagi – semuanya tanpa kredit, persetujuan atau pampasan yang sewajarnya.
“Tindakan berulang ini menetapkan duluan yang berbahaya: bahawa karya artis boleh dieksploitasi tanpa akibat.
“Ia bukan hanya mengenai saya, ia memberi kesan kepada seluruh masyarakat artistik,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram ketika itu.

