Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran tolak usul gencatan senjata AS menerusi PM Iraq
Iran tolak usul gencatan senjata AS menerusi PM Iraq
Iran tolak usul gencatan senjata AS menerusi PM Iraq
TEHERAN: Iran menolak cadangan gencatan senjata yang dikemukakan Amerika Syarikat menerusi Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, dengan menegaskan sebarang perjanjian tidak akan dipertimbangkan selagi isu kawalan ke atas Selat Hormuz tidak diselesaikan.
Penolakan itu berlaku ketika konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Iran memasuki minggu kedua, dengan kedua-dua pihak terus melancarkan serangan balas yang meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan perang merebak ke seluruh Asia Barat.
Menurut laporan The New York Times yang memetik pegawai kanan Iran dan Iraq, Encik Al-Zaidi membawa cadangan itu ketika mengadakan lawatan rasmi ke Teheran selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih.
Walaupun butiran penuh cadangan itu tidak didedahkan, pegawai Iran menyifatkannya sebagai satu-satunya tawaran rasmi yang dikemukakan Washington setakat ini.
Bagaimanapun, Teheran menolaknya kerana menganggap cadangan itu hanya bersifat sementara dan gagal menangani isu paling penting, iaitu status kawalan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama eksport minyak dunia.
Selat Hormuz menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Oman dan menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak global. Sejak konflik tercetus, laluan itu mengalami gangguan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan pasaran tenaga dunia.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata lawatan Encik Al-Zaidi penting memandangkan hubungan rapat antara kedua-dua negara, namun menegaskan masalah sebenar bukanlah kekurangan saluran komunikasi.
“Kami dan Amerika Syarikat sudah mempunyai ramai orang tengah. Masalahnya bukan menyampaikan mesej.
“Masalah sebenar ialah cara Amerika Syarikat melihat isu ini, yang tidak logik, tamak dan mahu menguasai pihak lain,” katanya dalam wawancara dengan televisyen pemerintah Iran.
Encik Araghchi berkata Encik Al-Zaidi turut berkongsi pandangan serta pemerhatiannya selepas mengadakan pertemuan dengan Trump di Washington, namun Iran tetap berpegang kepada pendiriannya bahawa sebarang penyelesaian mesti menangani isu strategik secara menyeluruh.
Dalam lawatan sulungnya ke Teheran sejak memegang jawatan pada Mei lalu, Encik Al-Zaidi mengetuai delegasi kanan pemerintah Iraq dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian; Speaker Parlimen yang juga ketua perunding Iran, Brigedier Jeneral Mohammad Bagher Ghalibaf, serta Encik Araghchi.
Kedua-dua negara turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, pengangkutan, keselamatan dan pelaksanaan perjanjian dua hala yang dimeterai sebelum ini.
Pejabat Perdana Menteri Iraq memaklumkan Encik Al-Zaidi turut menggesa semua pihak mengutamakan dialog dan penyelesaian secara diplomatik, selain memberi jaminan bahawa wilayah Iraq tidak akan digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Namun, usaha pengantaraan itu gagal menghasilkan sebarang kemajuan apabila Teheran tetap menolak cadangan Washington.
Sementara itu, pegawai keselamatan Iran mendedahkan angkatan bersenjata negara itu sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan perang menjadi lebih besar sekiranya Encik Trump melaksanakan ancamannya untuk menyerang Teheran dan lebih banyak infrastruktur kritikal.
Dua pegawai Iran berkata sekiranya serangan sedemikian berlaku, Teheran akan memperluaskan medan konflik ke peringkat serantau.
Menurut mereka, Iran bersedia melancarkan serangan terhadap Tel Aviv serta meminta sekutunya, kumpulan Houthi di Yemen, menutup Selat Bab al-Mandab yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden.
Jika kedua-dua Selat Hormuz dan Bab al-Mandab terganggu secara serentak, laluan perdagangan serta bekalan tenaga global dijangka menerima kesan yang jauh lebih besar.
Di Teheran, ribuan penyokong pemerintah terus berhimpun di Dataran Azadi bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan ketenteraan negara itu.
Media tempatan melaporkan beberapa peluru berpandu balistik buatan Iran dipamerkan pada perhimpunan tersebut sebagai simbol kesiapsiagaan tentera menghadapi konflik yang semakin memuncak.
Pada masa sama, Markas Pusat Amerika (Centcom) mengesahkan tenteranya melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran bagi malam ke-13 berturut-turut pada awal 24 Julai.
Washington sebelum ini menyatakan operasi berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan ketenteraan Iran selepas Tehran terus melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat.
Sejak gencatan senjata yang dipersetujui menerusi memorandum persefahaman Amerika Syarikat-Iran pada bulan lalu dibatalkan Encik Trump pada 8 Julai, kedua-dua negara terus bertukar-tukar serangan.
Amerika Syarikat menyasarkan pangkalan tentera serta prasarana penting Iran termasuk lapangan terbang, jambatan, pelabuhan dan rangkaian pengangkutan, manakala Teheran mendakwa berjaya menyerang kemudahan serta aset ketenteraan Amerika Syarikat di beberapa negara serantau.
Menurut pihak berkuasa Iran, sekurang-kurangnya 53 orang terbunuh manakala 592 lagi cedera akibat siri serangan Amerika Syarikat setakat 22 Julai.
Konflik yang berlanjutan turut mengganggu pergerakan kapal dagang di Selat Hormuz, menyebabkan beberapa syarikat perkapalan mengubah laluan masing-masing serta mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia.
Beberapa negara juga menutup ruang udara mereka secara berkala sebagai langkah berjaga-jaga, manakala kedutaan Amerika Syarikat di beberapa negara Asia Barat memperketat kawalan keselamatan susulan amaran kemungkinan serangan terhadap kepentingan Washington di luar kawasan konflik.
Pemerhati berpendapat kegagalan usaha pengantaraan Iraq menunjukkan jurang perbezaan antara Washington dan Teheran masih terlalu besar, khususnya berkaitan kawalan laluan strategik dan jaminan keselamatan serantau.
Selagi isu Selat Hormuz kekal menjadi pertikaian utama, peluang untuk mencapai gencatan senjata menyeluruh dilihat masih tipis, sekali gus meningkatkan risiko konflik itu berkembang menjadi krisis serantau yang lebih luas. - Agensi berita