Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemandu haram kembali tawar khidmat rentas sempadan JB-S’pura

Nov 4, 2025 | 3:16 PM
rentas, sempadan, kembali
Pemandu teksi di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru, berharap pihak Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengambil tindakan terhadap mereka yang membawa penumpang ke Singapura tanpa lesen sah. - Foto fail

JOHOR BAHRU: Pengendali perkhidmatan e-hailing (kenderaan sewa persendirian) haram yang menawarkan perkhidmatan rentas sempadan Johor Bahru-Singapura dilaporkan kembali beroperasi selepas sekian lama menyepi.

Kegiatan itu dikesan semula di Terminal Larkin Sentral dengan taktik baru bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pemandu teksi berlesen rentas sempadan, Encik Safarudin Abu Bakar, 44 tahun, berkata pemandu haram berkenaan kini menggunakan kereta jenis sedan berbanding kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti sebelum ini untuk mengelak dikesan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura.

Encik Safarudin, yang telah membawa penumpang di laluan Johor Bahru-Singapura selama 13 tahun, turut mendedahkan kadar tambang turut meningkat kepada $35 (RM114) seorang berbanding $30 sebelum ini.

“Mereka menawarkan perkhidmatan dari Terminal Larkin ke mana-mana destinasi di Singapura,” katanya lapor The Star.

Sementara itu, seorang lagi pemandu teksi Malaysia, Encik Affidin Salimun, 52 tahun, menggesa tindakan tegas diambil terhadap kegiatan haram itu.

“Kami berharap pihak LTA mengambil tindakan terhadap mereka yang membawa penumpang ke Singapura tanpa lesen sah,” katanya sambil menambah bahawa satu-satunya cara membanteras perkhidmatan sebegitu adalah dengan mengambil tindakan terhadap penumpang termasuk mendakwa mereka di mahkamah.

Beliau turut menggesa Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) Malaysia dan LTA membenarkan teksi berdaftar Malaysia menawarkan perkhidmatan dari pintu ke pintu di Singapura.

Pada masa ini, hanya teksi berdaftar Singapura dibenarkan menghantar penumpang ke mana-mana destinasi di republik itu, manakala teksi Malaysia hanya dibenarkan menghantar penumpang dari Terminal Larkin ke hentian teksi Ban San Street di seberang Tambak Johor.

Menurut undang-undang sedia ada, mana-mana individu yang menawarkan perkhidmatan rentas sempadan tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah boleh dikenakan denda sehingga $3,000 atau hukuman penjara sehingga enam bulan.

Pada 15 Oktober, Kementerian Pengangkutan dan LTA dilaporkan sedang dalam perbincangan dengan Malaysia untuk melonggarkan sekatan ke atas Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS).

Ini termasuk membenarkan teksi Malaysia untuk menurunkan penumpang di beberapa kawasan di Singapura, bukan sekadar di tempat yang ditetapkan.

Begitu juga dengan teksi Singapura yang juga dibenarkan melakukan perkara yang sama di Johor Bahru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg