TEMERLOH: Pemandu lori tangki didakwa di Mahkamah Majistret pada 17 Ogos atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anak lelaki di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, pada 14 Ogos lalu.

Nor Azlan Mahayudin, 37 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Anis Adlina Abu Johan.

Tertuduh yang memandu lori tangki sarat bahan api didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Fatimah Syuhada Abdullah, 39 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, kira-kira 4 petang, 14 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Nor Azlan didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12 tahun, di lokasi dan waktu sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 ($15,730) jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Amal Razim Alias, hadir bagi pihak pendakwaan, manakala Nor Azlan diwakili peguam Mazieera Sharifudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Anis Adlina menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, Cik Nur Fatimah Syuhada dan Fattah Aisy, maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan terbakar.

Lori tangki terbabit membawa 32,000 liter diesel dan petrol ketika kejadian.

Kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kereta yang terbakar dan jenazah mangsa dikebumikan pada 17 Ogos.