Topik diikuti
Pergi ke BHkuTauhu organik tak sempat disaji suami untuk isteri, anak yang mati rentung dihempap lori tangki
TEMERLOH: Jenazah dua beranak mangsa kemalangan ngeri membabitkan lori tangki dan sebuah kereta di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, pada 14 Ogos lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sanggang, pada 17 Ogos.
Jenazah Cik Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39 tahun, disemadikan serentak berhampiran pusara anaknya, Muhammad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12 tahun, selepas solat zuhur dan proses pengebumian selesai kira-kira 2.30 petang.
Terdahulu, jenazah dua beranak itu dituntut waris di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAH), kira-kira 10 pagi.
Suami arwah Nur Fatima, Encik Saifulnizam Sulaiman, 39 tahun, berkata proses memandikan jenazah dilakukan menerusi kaedah tayamum dan dikafan di unit forensik terbabit.
Katanya, kedua-dua jenazah kemudian dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq di Kampung Sanggang untuk disolatkan sebelum dikebumikan.
“Jenazah dikebumikan di Kampung kelahiran arwah isteri saya,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Encik Saifulnizam berkata kali terakhir beliau bertemu isteri dan anaknya pada 11 Ogos lalu sebelum beliau pulang ke Kampung Gadung, Sendayang, Negeri Sembilan, untuk menguruskan kolam ternakan ikan air tawar.
Katanya, beliau sedang mengusahakan kolam ikan sejak awal bulan ini (Ogos) dan kerap berulang-alik dari Jerantut ke kampung kelahirannya itu.
“Kami ada kolam ikan di Jerantut dan pada masa sama, saya memperluaskan projek ternakan itu di kampung saya di Sendayang.
“Saya balik ke sana seorang diri pada Selasa lalu, manakala isteri dan anak pula bergerak ke sana selepas solat Jumaat dan sepatutnya tiba di Sendayang kira-kira 6 petang.
“Saya sudah membeli tauhu organik untuk dihidangkan kepada isteri dan anak sebaik mereka sampai tetapi mereka meninggal dunia dalam kemalangan Jumaat lalu,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, dua beranak itu maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki bermuatan 32,000 liter bahan api.
Pengesahan identiti kedua-dua mangsa dijalankan melalui perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris dengan bantuan Jabatan Kimia.
Nahas berlaku ketika lori tangki dari arah Bera ke Temerloh hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan serta terbalik menghempap kereta dinaiki dua beranak terbabit.
Kemalangan itu turut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan anak beranak itu rentung.
Pemandu lori berusia 37 tahun yang cedera ringan direman hingga 18 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
