Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sultan Selangor: Tarik lesen pemandu kenderaan berat sebabkan kematian

May 15, 2025 | 1:00 PM
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto fail KOSMO!.

SHAH ALAM (Selangor): Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mahu tindakan lebih tegas dikenakan kepada pemandu kenderaan berat, termasuk pembatalan lesen memandu sekiranya didapati bersalah menyebabkan kematian atau kecederaan parah dalam nahas jalan raya.

Menurut Sultan Sharafuddin, tindakan itu wajar selain denda atau penjara kepada pemandu dan syarikat yang terlibat itu.

Sultan Sharafuddin kesal kerana telah berulang kali menyuarakan kebimbangan itu khususnya apabila menyentuh tentang hukuman terhadap pemandu kenderaan atau pun syarikat terlibat yang didapati cuai dan tidak menepati syarat keselamatan yang ditetapkan.

“Melihat kepada jumlah kes dan tragedi seumpamanya yang kian meningkat serta kadar kemalangan jalan raya yang semakin kerap berlaku, saya mahu tindakan segera yang lebih tegas diambil pihak berkuasa.

“Saya mahu, sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan saja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik,” katanya menerusi laman Facebook Rasmi Selangor Royal Office pada 15 Mei, lapor Kosmo!.

Beliau turut menggesa syarikat yang mengendalikan perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat lain agar memastikan penilaian ketat dalam memilih pemandu dan kelindan yang bersih dan tidak bermasalah.

“Saya turut mengingatkan semua pihak terlibat agar tidak menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti keadaan kenderaan dan kelayakan pemandu.

“Saya berharap dan berdoa agar tidak akan lagi berlaku tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, menzahirkan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Teluk Intan, Perak, pada 13 Mei.

Mereka turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat.

Terdahulu, seramai sembilan anggota FRU terkorban selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam di Teluk Intan, Perak, kira-kira 8.45 pagi, 13 Mei.

Kejadian menyayat hati itu berlaku selepas 35 tahun insiden sama yang mengorbankan 11 anggota FRU dalam kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada 28 Februari 1990.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg