Topic followed successfully
Go to BHkuPemandu van langgar murid sekolah di Johor didakwa
Pemandu van langgar murid sekolah di Johor didakwa
Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000
Pemandu van langgar murid sekolah di Johor didakwa
BATU PAHAT: Seorang pemandu van warga emas yang melanggar seorang murid perempuan Tahun 2 di sebuah sekolah di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, pada 5 Mei lalu, telah didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pada 8 Mei.
Warga emas, Nordin Ithnin, 61 tahun, yang memandu van berkenaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8 tahun.
Nordin membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass, lapor laman web Astro Awani.
Mengikut tuduhan, warga emas itu didakwa memandu sebuah van secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Aini Umairah, yang ketika itu sedang menggunakan jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong, kira-kira 12.30 tengah hari 5 Mei lalu.
Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 ($16,189), jika sabit kesalahan.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan diperintah melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung bermula dari tarikh tuduhan, selain menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan seorang murid perempuan Tahun Dua maut akibat dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar SK Seri Maimon, Parit Sulong ketika berjalan kaki.
Siasatan awal mendapati van berkenaan sedang bergerak keluar dari kawasan sekolah melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima-Parit Sulong selepas selesai menghantar barang.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Parit Sulong.
Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum ketibaan ibu mangsa, Cik Asmilah Tukiran, 37 tahun, untuk menjemput Nur Aini Umairah, pulang sebaik sesi persekolahan tamat.
Cik Asmilah terkilan lewat tiba di sekolah untuk menjemput anak perempuannya itu dan tidak dapat menyembunyikan kesedihan kehilangan Nur Aini Umairah buat selamanya.
“Saya terlewat hanya beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Cik Asmilah berkata kelewatan itu disebabkan kerana perlu menyiapkan anak bongsunya, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5 tahun, yang baru pulang dari prasekolah tidak jauh dari rumahnya pada 12.30 tengah hari.
Beliau hanya mampu meratapi jasad anaknya itu yang terbujur kaku selepas dimaklumkan oleh guru sekolah terbabit bahawa anaknya yang terlibat kemalangan di hadapan pagar sekolah itu.

