Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemangku Sultan Johor kecewa kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang

Jul 23, 2025 | 12:55 PM
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto FACEBOOK HRH CROWN PRINCE OF JOHOR

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan kekecewaan terhadap kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sepatutnya mula beroperasi secara berperingkat pada Ogos 2025 namun telah ditangguhkan ke Januari 2026.

Beliau berkata kelewatan tersebut mencerminkan kelemahan pengurusan dalam beberapa projek penting peringkat Persekutuan termasuk isu gangguan sistem ‘autogate’ (pintu automatik) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta pelaksanaan projek tebatan banjir.

Justeru, beliau menegaskan pentingnya kerajaan Persekutuan memulangkan semula sekurang-kurangnya 25 peratus hasil cukai pendapatan yang dikutip daripada Johor untuk digunakan kerajaan negeri.

“Apabila hasil cukai pendapatan Johor sebanyak 25 peratus diberikan semula kepada Johor, bermakna Johor boleh berdiri dengan kaki sendiri. Kita tidak perlu membebankan Kerajaan Persekutuan atau menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kelulusan projek yang melibatkan keperluan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Julai.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan pelbagai infrastruktur penting dan mengingatkan bahawa pentadbiran negeri Johor perlu memiliki kuasa fiskal dan dana yang mencukupi untuk memastikan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Terdahulu, pada 9 Julai, Tunku Ismail menyeru agar Hospital Pasir Gudang yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat segera dilengkapkan dengan petugas kesihatan.

Ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan rakyat di negeri itu tidak terus terjejas.

Beliau turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepat pengisian jawatan kosong yang menjejas operasi hospital utama negeri seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI)  dan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai.

Permintaan agar Johor menerima semula sebahagian daripada hasil cukai pendapatan yang disumbangkannya telah lama disuarakan kepimpinan negeri, termasuk Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam usaha mempercepat pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan asas.

Pada Jun 2024, Tunku Ismail dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.

Tunku Ismail berkata pada masa ini Kerajaan Johor memberikan antara RM48 bilion ($14.5 bilion) hingga RM49 bilion setahun cukai negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg